Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...

28 February 2011

Terhijab Amalan Rohani


1. Ketika kita sembahyang, lahirnya kita berdiri, rukuk dan sujud dengan mulut terkumat-kamit memuji dan berdoa kpd Allah, tetapi sebenarnya di manakah hati kita (ingatan dan fikiran)? Adakah ia juga mengadap Allah, khusyuk dan tawadhuk serta merasa rendah dan hina diri dengan penuh pengabdian dan harapan serta malu dan takut kepada Allah SWT? Atau adakah hati kita terbang menerawang ke merata-rata tempat dengan membelakangkan Allah Yang Maha Agung yangg sedang disembah? Begitu juga ketika kita membaca Al-Quran, berselawat, berzikir, dan sebagainya lagi... adakah roh kita turut menghayatinya?

2. Pernahkah kita merasa indah bila bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah dan menumpukan sepenuh perhatian kepadaNya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingatiNya sambil berazam untuk memperbanyakkan amal bakti kepadaNya?

3. Kalau ada orang Islam yang ditimpa bencana dan berada dalam penderitaan, adakah hati kita merasa belas kasihan untuk membantu atau mendoakan dari jauh agar mereka mendapat pertolongan dari Allah?

4. Pernahkah kita menghitung dosa kita, lahir dan batin? Bila teringatkan dosa-dosa kita, adakah mudah untuk kita menangis menyesali diri sambil memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya?

5. Adakah kita sentiasa mengingati pada mati yang akan datang beberapa saat saja lagi? Sebab Tuhan memang boleh buat begitu. Jadi ketika umur masih ada ini, adakah kita berusaha mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepadaNya?

6. Pernahkah kita hitung berapa banyak harta kita, duit kita, rumah kita, kereta kita, motosikal kita, perabot kita, pinggan mangkuk kita, periuk belanga kita, kain baju kita, kasut kita, makanan kita, dan lain-lain kepunyaan kita yang melebihi dari keperluan kita sendiri (yang halal)? Kerana yang mana berlebihan itu akan dibicara, dihisab, ditanya, dicerca, dan dihina oleh Allah di padang Mahsyar nanti kerana membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?

7. Pernahkah kita kenangkan orang-orang yang pernah kita kasari, umpat, tipu, fitnah, hina, kutuk, dan aniaya sama ada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran dan sesiapa saja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan dosa dengan manusia di dunia ini lagi tanpa menunggu hari yg dahsyat? Senangkah kita untuk memaafkan kesilapan orang lain dan adakah kita mudah untuk terus meminta maaf bila bersalah?

8. Apabila kita sakit kerana ditimpakan oleh Allah, dapatkah kita tenangkan hati kita dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa sakit adalah kifarah dosa (pengampunan dosa) atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah SWT?

9. Ketika menerima takdir yang kita rasakan tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita rasa redha bahawa ia adalah satu pemberian daripada Allah yang patut untuk kita?

10. Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa ia adalah pemberian daripada Allah, lalu timbul rasa terima kasih kepada Allah dan rasa takut kalau-kalau ia tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berazam untuk menggunakan nikmat itu demi Allah jua?

11. Kalau ada orang yang mengata atau mencerca kita di belakang kita, dapatkah hati kita merasa tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa rasa sakit dan susah hati serta dendam) bahkan kita memaafkan orang itu sambil mendoakan kebaikan untuknya sebab merasakan ia telah memberikan pahala kepada kita melalui cercaannya itu?

12. Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri harta kita, mampukah kita relakan saja atas dasar kita mendapat pahala menanggung kerugian itu?

13. Kalau orang lain mendapat kesenangan dan kejayaan, dapatkah kita merasa gembira dan turut bersyukur serta mengharapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa ada rasa dengki dan sakit hati dengan kejayaan org itu?

14. Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan sesuatu yang kita juga perlukan?

15. Adakah kita merasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?
Susah agaknya untuk kita menjawab soalan-soalan di atas dengan jawapan-jawapan yang sepatutnya kerana sememangnya susah seorang buat insan biasa seperti kita untuk benar-benar menyempurnakan amalan batin. Walau bagaimanapun kita seharusnya menyimpan niat di hati kita dan seterusnya bersungguh-sungguh bermujahadah untuk menyuburkan amalan-amalan batin kita kerana amalan batin adalah lebih penting dari amalan lahir.

Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu."
(Hadith Riwayat Muslim)

Firman Allah pula yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada kaum itu, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (hati mereka)."
(Surah Ar-Raad: ayat 11)

Marilah kita cuba tekunkan diri untuk membersihkan dosa lahir dan batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Mudah-mudahan Allah menolong dan meredhai kita.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan mereka yang bermujahadah kepada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." 
(Surah Al-Ankabut: ayat 69)

Pandangan Hati Semata-semata

Di antara tugas terpenting ilmu tasawuf itu ialah untuk menghidupkan hati. Bila hati hidup, ia dapat memancarkan cahaya rohaniahnya kepada akal dan kepada seluruh anggota. Sehingga manusia mampu untuk menyuluh tindak-tanduk lahir dan batin mereka. Kemudian setiap kerja, setiap amalan, setiap tindakan yang dibuat itu akan dihubungkan dengan Allah. Dia sentiasa ada berhubung dengan Allah.
Setiap manusia sesudah mempunyai hati sebegini, dalam dia bertindak, beramal, berbuat dan bekerja, dia dapat kekalkan terus rasa kehambaan pada Allah. Tidak pernah terputus. Rasa kehambaan itu tetap subur dan menebal di alam rasanya (zauq). Di waktu itu bila dia berperanan di bumi, hatinya dapat berhubung dengan Allah. Waktu dia mentadbir bumi, kakinya saja di bumi tetapi hatinya di Akhirat. Hatinya penuh rindu atau tenggelam dalam cinta Allah. Atau hati terbakar, gementar kerana takutkan azab Allah. Dia rasa dirinya hamba kepada Allah. Dia juga rasa dirinya khalifah-Nya. Di waktu itu barulah manusia dapat berperanan seperti yang Allah kehendaki.
Untuk dapat hati begini, maka setiap amal, setiap kerja dan setiap tindakan kita itu mestilah ada roh. Yakni hati sentiasa ada berhubung dengan Allah.

Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi telah menjelaskan tentang perihal ini di dalam perbahasannya berkenaan “Keutamaan Amalan Hati Ke Atas Amalan Badan”. Bersamalah kita membaca dan mengambil manfaat darinya, semoga ada khairnya demi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, mudah-mudahan.
Di antara amalan yang sangat dianjurkan menurut pertimbangan agama ialah amalan batiniah yang dilakukan oleh hati manusia. Ia lebih diutamakan daripada amalan lahiriah yang dilakukan oleh anggota badan, dengan beberapa alasan:
Pertama: Kerana sesungguhnya amalan yang lahiriah itu tidak akan diterima oleh Allah SWT selama tidak disertai dengan amalan batin yang merupakan dasar bagi diterimanya amalan lahiriah itu, iaitu niat; sebagaimana disabdakan oleh Nabi s.a.w. :
“Sesungguhnya amal perbuatan itu harus disertai dengan niat.”
Erti niat ini ialah niat yang terlepas dari cinta diri dan dunia. Niat yang murni untuk Allah SWT. Dia tidak akan menerima amalan seseorang kecuali amalan itu semata-mata untuk-Nya: sebagaimana firman Allah Taala:
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan berbuat ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…” (al-Bayyinah: 5)
Dalam sebuah hadis qudsi diriwayatkan, Allah SWT berfirman,
“Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan persekutuan. Barangsiapa melakukan suatu amalan kemudian dia mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku akan meninggalkannya dan meninggalkan sekutunya.”

Dalam riwayat yang lain disebutkan:
“Maka dia akan menjadi milik sekutunya dan Aku berlepas diri darinya.”

Kedua: Kerana hati merupakan hakikat manusia, sekaligus menjadi cermin kebaikan dan kerusakannya. Dalam Shahih Bukhari dan Muslim disebutkan bahwasanya Nabi SAW bersabda:
“Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati.”
Nabi SAW menjelaskan bahwasanya hati merupakan titik pusat pandangan Allah, dan perbuatan yang dilakukan oleh hatilah yang dinilai oleh-Nya. Kerananya, Allah hanya melihat hati seseorang, bila bersih niatnya, maka Allah akan menerima amalnya: dan bila kotor hatinya (niatnya tidak benar), maka secara automatik amalnya akan ditolak Allah.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang hati kamu. Sesiapa yang memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam orang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)

Jangan menyangka orang lain buruk
Siapa tahu kita lebih buruk dari dia
Jangan menyangka orang lain rosak
Siapa tahu kita lebih rosak dari dia
Jika ada manusia yang nampak hitam
Kita jangan terus melabelkan dia hitam
Sebab di alam fana segala berubah
Dalam satu detik manusia boleh berubah
Yang tadinya hitam akan jadi putih
Yang tadinya putih akan menjadi hitam
Bimbinglah yang hitam untuk jadi putih
Jagalah yang putih biar sentiasa tetap putih



Sesetengah yang jahil berkata tidak semestinya mereka yang tidak tutup aurat ni jahat. Walaupun ada yang berpakaian seksi dan mendedahkan aurat, tapi hati mereka baik dan suci. Ada yang solat tak pernah tinggal. Kalau tengok yang baik ramai je yang buat jahat. Berzina, khalwat dan macam-macam lagi.
" إن الله لا ينظر إلى صوركم ولكن في قلوبكم "
Dia kata Allah tak pandang luaran, tapi Allah pandang pada hati.. Nauzubillah..
Tetapi mereka tidak melihat kepada hadis lain iaitu:
حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ حَدَّثَنَا كَثِيرُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ بُرْقَانَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ الْأَصَمِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Secara ringkas bermaksud sabda nabi s.a.w : sesungguhnya Allah tidak melihat akan luaran mereka (kekayaan mereka, pakaian mereka atau lain2) dan harta-harta mereka  akan tetapi Allah melihat kepada hati mereka dan amal-amal mereka.
"Bila nafsu dah menguasai akal, sampai sanggup berhujjah dengan hadis untuk menyokong nafsu". Jadi, adakah Allah boleh menganggap hati hambaNya itu suci dan baik kalau hambaNya itu melanggar perintahNya serta perkara2 syariat?..  “Jadi, adakah Allah boleh menganggap hati hambaNya itu suci dan baik kalau hambaNya itu melanggar perintahNya?.. Fikirkanlah…
 “Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dinamakan hati.” (Riwayat Bukhari)
Tak perlu lagi kita nak pertikaikan dengan berhujah menggunakan logik akal fikiran dan menurut kehendak nafsu. Setiap sesuatu itu perlu ditentukan menurut neraca Allah dan Rasul, bukan neraca pemikiran kita semata-mata.

Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Jika hati seseorang itu bersih iaitu bersih daripada kekotoran dosa maka jasadnya juga turut melakukan kebaikan, sebaliknya jika hati itu penuh dengan kekotoran dosa, maka ia akan mendorong seseorang itu melakukan perkara yang ditegah agama.
Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketaqwaan individu. Hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan juga menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seorang. Hati juga dianggap ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsi anggota badan secara keseluruhan kerana terlucut roh yang bertapak dalam hati. Hatilah tempat bertapak iman, taqwa, sifat mahmudah, niat dan pada masa lain, di sini juga terletak kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.
Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah iaitu: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Yang membolak-balikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu.”
Hati bersih diterangi cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun keraguan dan syirik. Seterusnya, hati bersih yakin segala yang wujud di alam semesta dicipta Allah, sekali gus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas alam. Hati bersih juga terhindar daripada dendam, dengki, fitnah dan sifat tercela lain.
Dengan kata lain, hati bersih dipenuhi iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan tunduk yang kudus kepada Allah. Justeru, hati menjadi tempat bertapak nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain…

22 February 2011

Tasawuf itu Menghalusi

Mengenal pengertian tasawuf:-

Zakaria Al-Ansari berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang dengannya boleh mengetahui tentang pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs), memperbaiki budi pekerti serta pembangunan lahir dan batin, untuk memperolehi kebahagian yang abadi.”
Ahmad Zaruq berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang bertujuan untuk memperbaiki hati dan memfokuskan hanya untuk Allah semata-mata segalanya. “Fikih adalah ilmu yang bertujuan untuk memperbaiki amal, memelihara segala peraturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan untuk mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu kedoktoran untuk memelihara badan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.”
Imam Junaid berkata: “Tasawuf adalah berakhlak luhur dan meninggalkan semua akhlak tercela.”
Di antara ulama ada yang mengatakan bahawa tasawuf secara keseluruhannya adalah akhlak. Barangsiapa memberimu bekal dengan akhlak, maka dia telah memberimu bekal dengan tasawuf.
Abu Hassan Asy-Syadzili berkata: “Tasawuf adalah melatih jiwa untuk tekun beribadah dan kembali kepada hukum-hukum Allah SWT.”
Ibnu Ujaibah berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang dengannya dapat diketahui cara untuk mencapai kepada Allah SWT, membersihkan batin dari semua akhlak tercela dan menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji.  Awal tasawuf adalah ilmu ,pertengahannya adalah amal dan akhirnya adalah kurnia.”
Penulis Kasyf Azh-Zhunun mendefinasikan tasawuf sebagai ilmu yang dengannya diketahui cara manusia sempurna meniti jalan menuju kebahagian. Dia juga mendefinasikan tasawuf dalam syair berikut:
“Tasawuf adalah ilmu yang tidak diketahui kecuali oleh orang yang mengetahui kebenaran. Dia tidak akan dikenali oleh orang yang tidak mengalaminya dan bagaimana mungkin orang buta dapat melihat cahaya.”
Dalam buku Qawaid Tasawwuf, Ahmad Zaruq mengatakan bahawa kata tasawuf telah didefinasikan dan ditafsirkan dari berbagai aspek, sehingga mencapai sekitar dua ribu definasi. Semua itu disebabkan kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah yang dicapai dengan berbagai cara.
Menurut Syeikh Abdul Qadir Isa, tiang penyangga tasawuf adalah penjernihan hati dari kotoran kebendaan dan asasnya adalah hubungan manusia dengan pencipta yang maha agung. Sufi adalah orang yang hati dan hubungan murni hanya untuk Allah sehingga Allah memberinya karamah. Subhanallah..
(Dari Kitab Hakikat Tasauf.(Syaikh Abdul Qadir Isa)

Berkata Syeikh Abdul Qadir Isa di dalam kitabnya Haqaiq Tasawuf mengenai musuf-musuf tasawuf secara ringkasnya:
Di antara musuh-musuh tasawuf terdiri dari kalangan orentalis lagi zindiq serta para pengikutnya dan konco-konconya. Mereka telah disusun atur dan dilatih oleh golongan kafir yang jahat bagi mencela Islam. Mereka cuba memusnahkan pokok pangkal Islam dengan menimbulkan pelbagai keraguan serta menyebarkan fahaman-fahaman untuk memecahkan umat Islam. Mereka mempelajari Islam secara mendalam tetapi bertujuan untuk menyeleweng dan memusnahkan Islam. Mereka juga sentiasa memiliki sifat talam dua muka. Mereka juga mendakwa tasawuf diambil daripada Yahudi, Nasrani dan Buddha. Bermacam-macam tomahan celaan dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ulama tasawuf.  Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir orang Islam menggunapakai pandangan dan pendapat dari musuh-musuh Islam ini untuk mencela tasawuf secara keseluruhannya. Inikah yang dikatakan pejuang Islam yang sebenarnya?.
Di antara musuh-musuh tasawuf juga ialah mereka yang jahil dengan hakikat tasawuf Islam itu sendiri. Mereka tidak mempelajari daripada tokoh-tokoh ulama sufi secara jujur dan amanah serta tidak juga mengambil manfaat daripada ulama-ulama tasawuf yang ikhlas menyampaikan ilmu pengetahuan. Mereka cuba mengkaji sendiri kitab-kitab tasawuf sedangkan mereka tidak mempunyai asas dan tidak memahami maksud sebenar serta mereka juga tidak mengetahui tentang penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut oleh musuh-musuh tasawuf Islam. Maka akan timbullah pandangan negatif dan berburuk sangka terhadap tasawuf ini. Kita boleh bahagikan mereka ini kepada beberapa golongan:-

Golongan pertama:
Fikrah tentang tasawuf yang ada pada mereka diambil melalui amalan suluk sesetengah golongan yang menyelinap masuk serta menyeleweng yang terdiri daripada musuh-musuh tasawuf. Mereka tidak membezakan di antara tasawuf yang hakiki lagi suci dengan sesetengah perkara jelek dan keji yang datang menyelinap yang tiada hubungkait dengan Islam.

Golongan kedua:
Mereka merupakan golongan yang terpedaya dengan apa yang mereka dapati daripada kitab-kitab tokoh-tokoh sufi yang terdiri daripada pelbagai permasalahan yang diselinap masuk. Mereka mengambilnya sebagai suatu hakikat sabit tanpa sebarang kepastian terlebih dahulu. Mungkin juga mereka mengambil kata-kata sabit yang terdapat dalam kitab-kitab ahli sufi lalu memahaminya tanpa mengikut apa yang dikehendaki oleh kitab tersebut. Mereka mengikut fahaman cetek yang dimiliki, ilmu yang terhad serta keinginan yang tersendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ahli sufi yang jelas kefahamannya tentang syariat dan akidah. Mereka mentakwilkan kalam-kalam para ulama sufi mengikut hawa nafsu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada ahlinya yang lebih memahami.
Mereka ini seumpama mengambil ayat-ayat Al-Quran Karim yang mempunyai kesamaran (mutasyabihat) lalu mentakwilkannya sesuka hati tanpa melihat kepada ayat-ayat yang jelas (muhkamat) dan tidak juga bertanya terlebih dahulu kepada para ulama yang lebih mengetahui sepertimana yang telah dijelaskan oleh  Allah Taala di dalam Al-Quran Karim (Surah al-Imran: Ayat 7).
Sedangkan ada sebilangan dari kalangan mereka yang begitu mengecam pentakwilan (bukan menurut hawa nafsu) oleh para ulama muktabar bukan?

Golongan ketiga:
Mereka merupakan golongan yang tertipu. Mereka mencedok atau menimba ilmu pengetahuan daripada orientalis. Mereka hanya menggunapakai pandangan dan sangkaan salah dari para orientalis semata-mata.  Mereka tidak dapat membezakan di antara tasawuf Islam yang sebenarnya dengan tasawuf yang telah dicemari di sebabkan mereka tiada ilmu dan asas yang bertepatan.
Inilah di antara musuh-musuh tasawuf serta tarikat yang bertindak menyerang tasawuf dari sebelah luar ataupun dari sebelah dalam Islam.  Mereka bersungguh-sungguh menabur fitnah selagimana mereka di berikan nyawa yang sementara ini dari Allah Taala. Mungkin juga mereka lupa bahawa mereka akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Bersedialah!!

Tasawuf tidak boleh di ceritakan dengan zahir tetapi secara batin. Maksudnya bukan tak boleh secara zahir tapi harus diceritakan sekadar fahaman seseorang itu. Andainya di ceritakan secara mendalam secara zahir inilah yang menyebabkan ramai yang menganggap ilmu tasawuf ini banyak menyesatkan manusia. Bak kata pepatah orang tua dulu-dulu:  “kasar dgn kasar dan halus dgn halus” dalam tasawuf juga sudah terkandung segala-galanya dan tiada yang lebih dari itu hanyalah "Dia" yakni Allah SWT semata-mata..

16 February 2011

Antara Hijab dan Kesucian


Hijab demi hijab yang menghijab
dengan beribu ribu hijab..
Kesucian adalah membuka segala hijab...
Cahaya kesucian menyingkap kegelapan hijab..

Sucikan diri dari dosa....
Bertaubatlah..
dengan Taubat Nasuha...
sucikan diri dari hadas...bersuci/berwuduklah
suci kan hati dari sifat mazmumah....
isikan dengan mahmudah..

Suci kan hati dengan
Zkirullah...
Allah,Allah,Allah...
Inilah jalan pembuka hijab...
Barang yang suci harus
diletak ditempat yang Suci....


Ubat Bagi Hati

Al-Quran menempatkan zikrullah  sebagai pintu pengetahuan makrifatullah, sebagaimana tercantum dalam surah Ali Imran, ayat 190-191 yang bermaksud:


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat ALLAH) bagi orang-orang yang berakal; iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka' "
(Surah Ali Imran, ayat 190-191 ). 

Dengan demikian, zikir termasuklah ibadah yang bebas dan tidak ada batasannya. Firman Allah:-
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا
خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
-surah Ali Imran ayat 20-
sentiasa mengingati dlm apa jua keadaan...bukan dengan sebutan sahaja tetapi memain perana didalam hati dengan mengingati Allah...
Termasuklah juga kaum intelektual yang sedang meneliti fenomena alam, sehingga menemui sesuatu yang bermanfaat bagi seluruh manusia...

Zikrullah merupakan alat pembangkit kesedaran diri yang tenggelam, dan sebab itulah zikir lebih komprehensif dan umum dari berfikir. Zikir melahirkan fikir serta kecerdasan jiwa yang luas dan kerana itulah zikrullah bukan hanya dapat diertikan dengan menyebut nama ALLAH, akan tetapi zikrullah merupakan sikap mental spiritual mematuhkan dan memasrahkan diri kepada ALLAH SWT..
Dari Darda' ra: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 
"Mahukah kalian aku beritakan sesuatu yang lebih baik dari amal-amal kalian, lebih suci dihadapan penguasa kalian, lebih luhur di dalam darjat kalian, lebih bagus bagi kalian daripada menafkahkan emas dan perak, dan lebih bagus daripada bertemu musuh kalian (berperang) kemudian kalian menebas leher-leher mereka atau mereka juga menebas leher-leher kalian?"
Mereka berkata, "Baik, ya Rasulullah .."
Baginda bersabda, "Zikrullah" atau ingat kepada ALLAH . .
(Dikeluarkan oleh At Tirmizi, Ibnu Majah , Ahmad dan Malik ). 
Betapa zikrullah ditempatkan pada kedudukan yang sangat tinggi, kerana ia merupakan jiwa atau roh seluruh ibadah, baik solat, haji, zakat, jihat dan amalan-amalan yang lain. Di suatu sudut lain, ALLAH mengancam keras orang yang tidak ingat kepada ALLAH di dalam ibadahnya. Seperti dalam surah Al-Ma'un, ayat 4-6 yang bermaksud
"Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; juga bagi orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaanya
(Surah Al-Ma'un, ayat 4-6) 
"Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)."
(Surah Al-Kautsar, ayat 2) 

         Perbuatan riyak ialah melakukan suatu yang amal perbuatan bukan untuk mencari keredhaan ALLAH, tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di kalangan masyarakat. Amal  perbuatan seperti itu yang akan ditolak oleh ALLAH, dan tidak dikategorikan sebagai perbuatan agama. Insyallah di lain masa ana akan memperbahashan tentang riyak.
"Banyak orang mendirikan solat sementara ia hanya mendapat lelah dan payah"  (Riwayat Abu Daud) 
Sabda Nabi SAW yang bermaksud; "Akan datang pada suatu masa, orang yang mengerjakan solat tetapi mereka belum merasakan solat" 
(Riwayat Ahmad)
Jadi, jelaslah maksud hadis-hadis diatas, bahawa seluruh ibadah bertujuan untuk memasrahkan diri dan rela kepada ALLAH, sebagaimana pasrahnya alam semesta.
Untuk mencapai tingkatan yang ikhlas kepada ALLAH serta menerima ALLAH sebagai junjungan dan pujaan, jalan atau saranan yang paling mudah telah diberikan ALLAH, iaitu zikrullah. Keikhlasan kepada ALLAH mustahil dapat dicapai, jika tidak berlatih dan melakukan amalan-amalan yang telah ditetapkanNya.
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu sungguh banyak bagiku, maka khabarkan kepadaku dengan sesuatu yang aku akan menepatinya" Baginda bersabda, "Sentiasa lisanmu basah dari zikir (ingat) ALLAH SWT. 
(Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Rasulullah telah memberikan penyelesaiannya dengan memerintahkan kita agar selalu membasahi lisan kita dgn menyebut dan mengagungkan nama ALLAH.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ
قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا
وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

10 February 2011

Panahan Wanita

(Jangan malu jika nak ilmu)

Malam pasangannya siang,
Jaga pasangannya tidur,
Rajin pasangannya malas,
Dan lelaki pasangannya perempuan.

Kerana perempuan adalah
pasangan kepada lelaki,
maka Allah telah menciptakan bentuk badan wanita
itu dapat memikat hati lelaki.

Bila berkata tentang terpikat,
maka ia ada hubung kait dengan nafsu.
Jika ia ada hubungkait dengan nafsu,
ianya ada hubungan pula dengan bisikan syaitan.

Jadi untuk mengawal nafsu, mestilah dikawal dengan IMAN.
Untuk mendapatkan iman mesti menurut perintah
Allah dan RasulNya dan menjauhi laranganNya.




Pada mata lelaki, perempuan ini adalah simbol.
Simbol apa, semua orang tahu.
Orang lelaki mempunyai imaginasi yang nakal jika
tidak dikawal dengan IMAN.
Maka mata lelaki ini selalu menjalar
apabila terlihat seorang perempuan.


Setiap bentuk badan seorang
perempuan boleh dihayati oleh seorang lelaki
dengan berbagai-bagai tafsiran nakal nafsu.
Apabila seorang lelaki terlihat seorang
perempuan, maka perkara pertama yang akan
dilihatnya ialah rambut wanita berkenaan.

Maka akan ditafsirlah berbagai2 cara oleh
seorang lelaki akan rambut wanita berkenaan.

Oleh kerana itulah wanita wajib menutup rambutnya.
Apabila rambut wanita itu telah ditutup, maka mata lelaki itu akan turun ke bawah melihat bentuk lehernya,maka wajiblah wanita itu menutup lehernya.


Maka mata lelaki itu akan turun lagi
melihat bentuk payu daranya,
maka wanita itu berkewajipanlah menutup bentuk
payu daranya dengan melabuhkan tudungnya.


Setelah itu mata lelaki akan
turun lagi melihat
bentuk ramping pinggangnya,
maka labuhkanlah pakaian supaya tidak ternampak
bentuk pinggangnya,
maka mata lelaki itu akan melihat pula akan
bentuk punggungnya,
maka wajiblah wanita itu membesarkan pakaiannya
agar bentuk punggung tidak kelihatan, dan
lelaki itu akan pula melihat bentuk pehanya,
maka janganlah sesekali wanita itu memakai kain
yang agak ketat sehingga terlihat bentuk
pehanya walau sedikit,
maka akan dilihat lagi oleh lelaki itu akan
bentuk kakinya pula,
maka janganlah wanita itu berseluar, kerana
terus-terang pihak lelaki bercakap, walau
muslimah itu bertudung labuh, berbaju labuh,
jika beliau memakai seluar, walau nampak besar
sedikit,
nafsu kami lelaki akan terusik secara
sepontan, entah tak tahu
Kenapa?


Mata lelaki ini nakal, setelah tidak ternampak
akan bentuk kakinya,
maka akan dilihatlah pula akan mata lelaki itu kepada kakinya,
maka wajiblah wanita itu untuk menolong lelaki
itu tidak berdosa, menutup kakinya dengan
melabuhkan kain, atau memakai stokinyg warnanya
jangan sesekali berwarna kulit perempuan,
maka mata lelaki ini akan kembali ke atas,
akan melihat pula bentuk tangan wanita itu,
maka tolonglah wahai muslimah, agar melabuhkan
tudung menutupi bentuk tangannya yang indah pada pandangan lelaki.


Maka wahai lelaki,
janganlah pula kamu melihat mukanya,
kerana ia akan menimbulkan fitnah, kecuali jika
kamu wahai lelaki, ingin meminangnya.
Jika wanita itu cukup soleh, takut mukanya yang
cantik akan menimbulkan fitnah,
maka berpurdahlah kamu,
jika itu lebih baik untuk kamu.


Tetapi mata lelaki ini ada satu lagi jenis penyakit,
iaitu mata lelaki itu akan tertangkap dengan sepontan jika
ia terlihat warna yang menyerlah atau terang
jika ianya berada pada perempuan.


Maka oleh itu wahai perempuan, tolonglah jangan
memakai pakaian yang warnanya terang-terangan sangat.
Jika hendak pakai pun, pakailah untuk suami.


Itulah wahai muslimah, jika anda semua ingin tahu
apakah dia mata lelaki itu, dan perlu
diingatkan, jika semua aurat telah ditutup,
jangan anggap tugas kita telah selesai, perlulah
pula kita menjaga kehormatan diri masing2,
jangan keluar seorang2, keluarlah dengan
mahram, atau keluarlah sekurang2nya 3 wanita agar
tidak diganggu gangguan luar, mata lelaki pula
janganlah menjalar langsung kepada muslimah,
walau muslimah itu telah menutup aurat,
insyaAllah selamat dunia akhirat.


Seperti firman Allah,”Dan tundukkanlah pandanganmu dan jagalah kemaluanmu”.
Dunia sekarang telah banyak yang cacat celanya, sehingga ketaraf seseorang yang memakai tudung
masih beliau tidak menutup aurat, dan pada kaum lelaki, mata kamu itu wajib untuk tidak mencuri2 melihat wanita muslimah, kerana ia dilarangi oleh Allah SWT.

Ingat-ingatkanlah wahai muslimin muslimat.
Sekilau-kilau berlian paling menarik untuk dicuri..
Seindah-indah ciptaan adalah yang paling sukar untuk dijaga…

Malam Pertama di Alam Barzakh


Satu hal sebagai bahan renungan Kita...
untuk merenungkan indahnya malam pertama,
Tapi bukan malam penuh kenikmatan duniawi semata,
Bukan malam pertama masuk ke peraduan Adam Dan Hawa,
Justeru malam pertama perkawinan kita dengan Sang Maut..

Sebuah malam yang meninggalkan isak tangis sanak saudara,
Hari itu... mempelai sangat dimanjakan
Mandipun...harus dimandikan
Seluruh badan Kita terbuka....
Tak ada sehelai benangpun menutupinya. .
Tak ada sedikitpun rasa malu...

Seluruh badan digosok dan dibersihkan
Kotoran dari lubang hidung dan anus dikeluarkan
Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih...
Itulah sosok badan Kita....
Itulah jasad Kita waktu itu..

Setelah dimandikan..,
Kitapun dipakaikan gaun cantik berwarna putih
Kain itu ...jarang orang memakainya..
Kerana sangat terkenal bernama Kafan,
Wangian ditaburkan ke baju Kita...
Bahagian kepala.., badan..., dan kaki diikatkan,
Tataplah.... tataplah...itulah wajah Kita
Keranda pelaminan... langsung disiapkan
Pengantin bersanding sendirian...

Mempelai diarak keliling kampung yang dihadiri tetangga,
Menuju istana keabadian sebagai simbol asal usul,
Kita diiringi langkah longlai seluruh keluarga,
Serta rasa haru para handai taulan,
Alunan syahdu bersyairkan adzan dan kalimah Dzikir,
Akad nikahnya bacaan talkin....
Berwalikan liang lahat..
Saksi-saksinya nisan-nisan. . yang telah tiba duluan
Siraman air mawar.. pengantar akhir kerinduan
Dan akhirnya.... tiba masa pengantin..
Menunggu dan ditinggal sendirian,
Untuk mempertanggungjawab kan seluruh langkah kehidupan..

Malam pertama yang indah atau meresahkan..
Ditemani rayap-rayap dan cacing tanah,
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan ketika 7 langkah telah pergi.....
Sang Malaikat lalu bertanya.
Kita tak tahu apakah akan memperoleh Nikmat Kubur...
Atau kah Kita akan memperoleh Siksa Kubur.....
Kita tak tahu...Dan tidak seorang pun yang tahu....




Menurut Imam Anas bin Malik bumi ini menyeru manusia setiap hari dengan 10 panggilan:
1. ‘wahai anak cucu adam, kamu berjalan di atasku, ingatlah tempat kembalimu di dalam perutku’.



2. ‘kamu melakukan maksiat dan dosa-dosa di atasku, ingatlah kamu akan diseksa dalam perutku’.


3. ‘kamu bergurau senda di atasku, ingatlah kamu akan menangis dalam perutku’.


4. ‘kamu memakan barang haram di atasku, ingatlah cacing akan memakan kamu di dalam perutku’.


5. ‘kamu bergembira di atasku, ingatlah kamu akan merasa susah dalam perutku'.


6. ‘kamu menggunakan barang-barang haram di atasku, ingatlah kamu akan hancur dalam perutku’.


7. ‘kamu bersikap sombong di atasku, ingatlah kamu akan menjadi hina dina dalam perutku’.


8. ‘kamu berjalan dengan bersukaria di atasku, ingatlah kamu akan merasa kesedihan dalam perutku’.


9. ‘kamu berjalan diterangi cahaya di atasku, ingatlah kamu akan kegelapan di dalam perutku’.


10.’kamu berada dalam keramaian di atasku, ingatlah kamu akan duduk bersendirian dalam perutku’.




Ketahuilah, setiap hari kubur akan memanggil manusia sebanyak 5 kali:
1. ‘Aku adalah rumah yang sunyi dan keseorangan. Bagi memeriahkannya hendaklah kamu membaca Al-Quran’.

2. ‘Aku adalah rumah yang gelap gelita. Terangilah aku dengan sembahyang malam’.

3. ‘Aku adalah rumah yang dipenuhi dengan habuk dan debu. Hendaklah kamu membawa bekal taqwa dan amal-amal soleh’.

4. ‘Aku adalah rumah yang dipenuhi ular. Bawalah pendinding iaitu bacaan "Bismillahirrahmanirrahim" hingga mencucurkan air mata’.


5. ‘Aku adalah rumah pertanyaan Mungkar Nakir.
Perbanyakkanlah membaca ‘Laa ilaaha illallah, Muhammadur Rasulullah’ agar kamu dapat memberi jawapan kepadanya’.
Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat’. -riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Al Hakim-

‘Apabila seseorang itu sudah mati, maka diperlihatkan kepadanya tempat dimana ia akan duduk, pada setiap pagi dan petang. Jika ia termasuk ahli syurga, maka ia (melihat) syurga, dan apabila ia termasuk ahli neraka, maka ia pun (melihat) neraka’ Sabda nabi lagi: ‘Kemudian dikatakan: ‘inilah tempatmu yang dibangkitkan di Hari Kiamat’. -Riwayat Muslim-

‘Sesungguhnya mati yang kamu ingin lari daripadanya itu ia akan menemui kamu’
-Al Jumuah ayat 8.


Nasihat sebelum menjadi BAKAL MAYAT:
1.solatlah kamu sebelum kamu disolatkan(solat jenazah)
2.mandilah kamu sebelum kamu dimandikan(mandi mayat)
3.pakailah pakaian kamu sebelum kamu dipakaikan(kain kafan)


Indahnya malam pertama kalau iman dan amal yg banyak didunia, meranalah kamu kalau terlampau leka dengan dunia hingga lupa bakal ada mlam pertama disana...

Wallahu a'lam..

07 February 2011

Fikirkanlah....

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makann kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?.

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakkan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan dibulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?...

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya,bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia. Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari).

Bahaya Lidah

SEJAK akhir-akhir ini, amalan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, sindir menyindir, menyebarkan khabar angin, e-mel layang atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain, berprasangka buruk semakin menjalar dan membarah dalam masyarakat Islam. Umat Islam dituntut pelihara pertuturan bagi mengelak perpecahan akibat fitnah.

Semua amalan itu secara umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang. Namun lidah boleh menjadi lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat dan implikasi buruk kepada umat manusia seluruhnya.

Oleh itu, Islam dari awal lagi sudah memperingatkan umat Islam akan bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.
(Surah al-Baqarah, ayat 217)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)
Walaupun lidah adalah satu anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah, lidah mempunyai peranan besar dalam kehidupan manusia.

Pada satu ketika, lidah boleh memuliakan serta mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika yang lain, lidah mampu pula untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Malah, lidah berupaya membawa kejayaan juga kegagalan. Maka tidak hairanlah orang tua ada bermadah, "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".

Menyedari akan kedudukan lidah yang penting, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.”
(Hadis riwayat Tirmizi)

Maksudnya, lidah umpama pisau bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia di kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama boleh membawa kepedihan di kala lisannya mendedahkan belang yang tersembunyi.

Contohnya, khabar angin yang disebarkan bisa melonjakkan indeks ekonomi sesebuah negara, begitu juga ia mampu membuatkan indeks ekonominya jatuh merudum gara-gara spekulasi yang tersebar. Begitulah peranan lidah yang mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa terungkap.

Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang sama ada dia seorang yang bertakwa dan beriman kepada Allah ataupun sebaliknya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.”
(Hadis riwayat Bukhari).

Seseorang insan dianggap beriman kepada Allah dan juga hari akhirat jika dia dapat memelihara lidah daripada perkara batil dan dilarang Islam. Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan serta mengelak perkara yang melalaikan.

Hal ini juga ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Allah menyediakan panduan dalam al-Quran bagaimana lidah seseorang yang beriman sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam dan direkodkan oleh malaikat.

Firman Allah yang bermaksud:
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Alangkah berbahagia dan beruntung seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-kata yang sentiasa bermakna dan bermanfaat.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisik mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’, ayat 114)

Tiga jenis amalan dianjurkan Islam iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah, juga menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan kebajikan serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak yang bergaduh.

Ini bermakna amalan selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, memfitnah adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan mengakibatkan dosa kepada si pelakunya dan orang bersubahat dengannya.

Malah dia termasuk di kalangan orang yang rugi sama ada di dunia dan di akhirat seperti firman Allah yang bermaksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian: Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran (iktiqad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).” (Surah al-’Asr, ayat 1 – 3)

Selanjutnya, Islam amat melarang umatnya melakukan perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk. Malah, amalan itu tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”
(Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam melarang keras sebarang perbuatan keji yang terbit daripada lidah. Ini kerana natijah perbuatan itu merbahaya bukan saja kepada individu, bahkan boleh membabitkan komuniti masyarakat keseluruhannya.

Jika diimbas zaman Khulafa’ al-Rasyidin, sejarah Islam sudah menyaksikan perpecahan dan pertelagahan di kalangan umat Islam akibat berlakunya fitnah terbesar di zaman Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.

Sebab itulah, munculnya pelbagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama. Selain itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan pelbagai krisis.

Seterusnya, Islam menegaskan bahawa kemuliaan dan penghormatan seseorang manusia di sisi Allah bukanlah berdasarkan kepada rupa parasnya, kekayaannya, hartanya atau warna kulitnya. Sebaliknya neraca yang sebenarnya di sisi Allah ialah nilai keimanan dan ketakwaan yang sentiasa bertakhta dalam jiwa.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa berwaspada ketika bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain, juga memelihara lidah daripada melakukan perbuatan tercela lagi dilarang Allah.

Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar seperti surat layang supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6).

Sesama lah kita menjaga lidah....