Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...

09 April 2011

Tundukkan Hawa Nafsu


Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِـــنِين

"Wallazina jahadu fina lanahdiyannahum subulana, wainnallaha lama’al muhsinin."

Bermaksud: "Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang berbuat baik."

(Al Ankabut: 69)

Syeikh Ibn Ata’illah dalam kitab Al-Hikam menerusi katanya: “Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syahwatnya?


Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar.

Baginda Nabi Muhammad S.A.W juga bersabda: Seorang mujahid iaitu seorang yang berjihad ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.

Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Mujahadah melawan hawa nafsu ialah menempuh tiga langkah seperti berikut:

1. Takhalli

2. Tahalli

3. Tajalli

Ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan melaksanakan latihan-latihan rohaniah yang dinamakan riadhatunnafsi yakni latihan untuk melawan atau menentang atau memerangi semua kehendak-kehendak nafsu yang jahat. Caranya ialah dengan membuat latihan menolak segala kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu.


1. Takhalli
Maksudnya mengosongkan atau membuang atau menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Di peringkat ini, kita mesti melawan dan membuang secara paksa dan terus menerus semua kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan yang dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak membenci, memusuhi dan membuang kehendak-kehendak tersebut jauh-jauh secara paksa dan terus menerus, maka nafsu jahat itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Apabila nafsu jahat dibiarkan menguasai kita, iman tidak akan ada tempat di hati. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi akan menyembah hawa nafsunya. Oleh itu, usaha melawan hawa nafsu jangan diambil ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.


2. Tahalli
Maksudnya mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji. Setelah kita mujahadah mengosongkan hati dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji, segera pula kita hiasi hati kita itu dengan sifat-sifat mahmudah atau terpuji. Untuk ini, sekali lagi kita perlu bermujahadah. Untuk membuang sifat-sifat mazmumah dari hati perlu mujahadah. Untuk mengisi hati dengan sifat-sifat mahmudah pun perlu mujahadah. Kalau tidak, iman tidak akan wujud dalam hati kerana iman itu berdiri di atas sifat-sifat mahmudah.


3. Tajalli
Maksudnya terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau keadaan sentiasa rasa bertuhan. Ia adalah sebagai hasil dari mujahadah. Selepas peringkat takhalli dan tahalli, kita akan memperolehi tajalli. Ia satu perasaan yang datang sendiri tanpa perlu diusahakan lagi. Agak sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan bahasa tetapi secara ringkas, secara mudah dan secara asasnya, ia adalah rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi oleh Tuhan, hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan kerinduan tertuju kepada Allah.

Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam kecintaan pada-Nya. Harapan dan pergantungan hati tidak ada pada yang lain lagi selain Allah. Apa sahaja masalah hidup dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada apa-apa kesusahan dalam hidup. Yang baik mahupun yang buruk dirasakan sebagai hadiah dari Tuhan. Dunia terasa bagaikan Syurga. Inilah kebahagiaan yang sejati dan abadi iaitu kebahagiaan hati.

Berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata.

Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?

Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.

Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?

Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu. Apa sahaja kejahatan, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.


Tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:-

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca Al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan Al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskan nafsu.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah S.A.W kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:-

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah, Ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

Kesimpulannya:-
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara berperingkat-peringkat. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.”

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah dan jangan pula sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Selain itu hendaklah bermujahadah dalam beramal. Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya, ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak. Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu. Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat. Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh.

Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas fit Tafsir: Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibnu Mubarak berkata, 'Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu.'

Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata, 'Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: 'Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang soleh itu nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.'

04 April 2011

Aku Sesat Dalam Terang



Aku puja bunga di taman,
Aku terpesona dengan keindahannya,
Aku tulis di dalam sajak-sajakku,
Hingga lupa aku dengan Tuhan,
Bukankah dia akan layu kemudian jatuh ke bumi,
ia tidak berguna lagi.

Aku puja perempuan,
Aku lukis dengan kata-kata,
Hingga lalai dengan Tuhan,
Bukankah dia akan tua bangka,
Atau adakalanya dia tidak setia,
yang akan mengecewakan aku.

Aku kagum dan puja awan,
yang berarak dan beralih,
Aku gambarkan dengan bahasa yang indah,
Hingga lupa kewajipan kepada Tuhan,
Padahal awan boleh hilang.
Aku berkhayal-khayal dengan gunung-ganang,
Kemudian aku ungkap di dalam syair-syairku,
Padahal kalau aku dekat,
Ia adakalanya menakutkan, membencikan,
menjemukan dan memayahkan,
Entah apa-apa lagi yang aku berkhayal,
dengan hal yang ada di dunia ini,
Hingga aku berfoya-foya,
dan menghabiskan masa,
Lupa Tuhan, lupa Agama,
lupa Hari Pembalasan,
Sedangkan semua itu akan binasa.

Padahal kalau mata hatiku hidup jiwaku celik,
Aku puja Tuhan, Aku besarkan Dia,
Seterusnya Aku cintakan Dia,
dan aku jadikan Dia matlamatku,
Tuhan adalah kekal, Ia adalah pembela,
Dia adalah sumber segala-galanya,
Ini lebih menguntungkan aku,
Kerja aku tidak sia-sia,
Untungnya hingga ke Syurga.

Tuhan, satu yang aku pinta dari-Mu,
Beri kekuatan kepadaku untuk bertaubat,
Jangan Biarkan Aku Tersesat....


Hati rasa semakin mati apatah lagi untuk menjalankan riadah zikir yang sering diamalkan suatu waktu dulu. Jenuhlah rasanya diri ini nak mengikis karat hatiku ini yang semakin menebal dan pekat hitam diselubung dengan dosa di atas kelalaian dan ingkar serta jauh dari Allah......

Kenapa aku merasakan kekosongan dalam hati? Kenapa aku bersedih lagi? Aku tidak tahu apa yang tidak kena. Mungkin aku semakin jauh dari Engkau Ya Allah…..?

Tolonglah Ya Allah, aku tahu rahmat-Mu begitu tinggi. Aku tahu kasih-Mu mengatasi kasih kedua orang tuaku. Pulihkanlah jiwaku semula. Sesungguhnya aku menzalimi diriku sendiri. Bantulah aku mendaki gunung hidayah-Mu dengan setitis kudrat yang ada.

Engkau lebih mengetahui Ya Allah, sukarnya hidupku di dunia ini yang nilai dan neracanya digubah oleh manusia itu sendiri. Bukan nilai dan neraca dari langit. Sukarnya hidupku melawan lintasan syaitan dan nafsu, yang kurasakan dari sehari ke sehari semakin menapak kukuh dalam diriku ini.

Bantulah aku mendidik hatiku ke arah iman dan taqwa. Aku sedar, diriku berangan-angan terhadap syurga-Mu yang tidak layak untuk aku gapai, apatah lagi milikinya. Cuma aku pinta, di mana aku berada, tetaplah iringi aku bersama redha-Mu Ya Allah. Tuntunku kembali ke jalan-Mu. Jangan sampai tiada lagi pintu hidayah untuk menemui-Mu bagiku. Ya Allah, ampunkanlah aku, aku cuba mendekat pada-Mu, tapi, rupanya aku semakin menjauh terpesong dari-Mu…



Firman Allah SWT dalam Hadis Qudsi melalui Rasulullah SAW: “Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka aku mendekatkan diri-Ku kepadanya sedepa. Kalau hamba-Ku datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.”
(Riwayat Bukhari dari Anas)

02 April 2011

Cuba Tanya Diri Kita ?



Soalan  : Nama Negara yang banyak memenangi Piala Dunia Bola Sepak?

Soalan  : Siapakah pemain bola terkenal sekarang?

Soalan  : Siapakah nama isteri Beckham?

Soalan : Siapakah artis tercantik Malaysia dan sebagai Duta Malaysia?

Soalan  : Siapakah RAJA LAWAK  Nalaysia?

Soalan  : Berikan satu judul lagu dari kumpulan Hijjaz?

Soalan  : Siapakah hos untuk rancangan Melodi terbitan TV3?

Soalan  : Nama badan-badan politik di Malaysia?

Soalan : Siapakah yang menyanyikan lagu "Gemilang"?

Soalan : Siapakah nama suami Datuk Siti Nurhaliza?

Soalan : Siapakah kakak Siti Nurhaliza yang bertanding dalam AF6?


Bagaimana pula dengan soalan di bawah ini....
Berapa banyak pula, saya dan kawan-kawan boleh jawab???
Adakah kita semakin jauh dari landasan yang sepatutnya........


Soalan : Siapakah nama pengasas Tabligh yang dakwah Islam seluruh dunia?
Jawapan : Maulana Muhammad Ilyas Al-Kandahlawi.

Soalan : Siapakah yang mencipta Qasidah Burdah?
Jawapan : Imam Al-Bushiri

Soalan : Siapakah orang pertama yang menulis ilmu tajwid?
Jawapan : Abu 'Ubaid Qasim bin Salam.

Soalan : Siapakah orang pertama yang telah menerjemahkan Al-Qur'an ke dalam bahasa Persia pada masa Rasulullah SAW?
Jawapan : Salman Al-Farisi.

Soalan : Siapakah orang pertama yang meletakkan titik di dalam Al-Qur'an?
Jawapan : Abul Aswad Ad-Du`ali.

Soalan : Siapakah pengarang Kitab Fathul Bahri Syarah Shahih Bukhari?
Jawapan  : Ibnu Hajar As-Asqalani.

Soalan : Surah Al-Qur'an manakah yang memiliki 4 nama yang mashyur?
Jawapan : Surah al-Fatihah.

Soalan : Surah manakah menceritakan tentang Allah SWT?
Jawapan : Surah Al-Ikhlas.
  
Soalan : Surah manakah yang dikenal dengan sebutan "jantung / ibu" Al-Qur'an?
Jawapan : Surah Yassin.

Soalan : Surah manakah berakhiran dengan huruf Ra'?
Jawapan : Surah Al-Kautsar.

Soalan : Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis disebut didalam surah mana?
Jawapan : Surah Saba '.

Soalan : Surah apakah yang pertama kali diturunkan?
Jawapan : Surah Al-'Alaq.

Soalan : Burung apakah yang telah memusnahkan pasukan Abrahah?
Jawapan : Burung Ababil.

Soalan : Binatang apakah yang telah membinasakan Raja Namrud?
Jawapan : Nyamuk.

Soalan : Binatang apakah yang menjadi salah satu surah dalam Al-Quran?
Jawapan : Lebah (An-Nahl).

Soalan : Apakah cara terbaik untuk membaca Al-Qur'an?
Jawapan : Tartil (betul makhraj dan tajwid).

Soalan : Berapakah kitab samawi yang disebutkan di dalam Al-Qur'an?
Jawapan : Injil, Taurat, Zabur, Shuhuf Ibrahim, Shuhuf Musa dan Al-Qur'an.

Soalan : Apakah surah yang dinamakan dengan “3 Qul"?
Jawapan : Surah Al-Nass, Al-Falaq, Al-Ikhlash..

Soalan : Bila di nuzul akan Al-Qur'an?
Jawapan : Bulan Ramadhan.


Mana Islam Di Hati Kita???
Hanya Islam di kad pengenalan??
Mana Cinta Kita pada Allah dan Rasul Kita??
" Wahai Tuhan kami,
kami tak layak kesyurgamu,
namun tak pula kami sanggup ke Neraka Mu,
kami lah hamba yang mengharap belas dari Mu,
Ya Allah,
jadikan lah kami hamba-hambu Mu yang bertaqwa,
ampunkan dosa-dosa kami, kedua ibubapa kami,
dosa semua umat-umat islam yang masih hidup
mahupun yang telah meninggal dunia…

01 April 2011

Muhasabah Nafs



Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:

“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”

Imam Hasan Al-Bashri R.A. pernah berkata:
“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa R.A. berkata:
"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."
[Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah R.A. berkata berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"
[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah S.W.T lagi:
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”
(Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah S.W.T menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:
"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut."
[Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa R.A. berkata:
"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah S.W.T, makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah S.W.T.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."



Jenis-jenis Muhasabah Diri :
Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:
"Allah S.W.T merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah S.W.T, maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah S.W.T, ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah S.W.T, maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah S.W.T, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah S.W.T..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah S.W.T dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah S.W.T, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah S.W.T daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan
Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah S.W.T.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah S.W.T kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah S.W.T berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah S.W.T..

Wallahu a’lam…

Di ambil saudaraku Raja Ahmad Mukhlis Bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari