Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My Photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...

06 May 2011

Zunnun Al-Misri Sang Pencinta Sufi


Assalamualaikum.. Alhamdulillah kerana diberi nafas dan segala nikmat hidup, sudah lama sekian menyepi akhirnya aku kembali untuk meninta lagi. Menyepi kerana menunaikan hak kewajipan sebagai seorang penuntut ilmu serta mencari petunjuk Ilahi. Ingin aku tintakan kali ini tentang salah seorang ulama sufi. Indah nama dan tingkahlakunya. Manis juga diberikan nama bagi bayi-bayi yang baru dilahirkan.

Berasal dari Akhtaman salah satu kota di daerah pedalaman Mesir, beliau dimakamkan di Pemakaman Imam Asy-Syafi’e. Nama beliau Al-Imam Al-A'rif Al-Sufy Al-Wasil Abu Al-Faidl Tsauban Bin Ibrahim Al-Misri, dan terkenal dengan nama Zunnun Al-Misri. Merupakan salah sorang tokoh sufi yang terkenal dengan ilmu makrifatnya. Fahaman tentang Makrifat sudah banyak dikemukakan oleh tokoh sufi sebelum Zunnun Al-Misri, tapi yang paling menekankan konsep Makrifat pada ajaran tasawuf adalah Zunnun Al-Misri.

Dalam ilmu makrifat, beliau mengatakan bahawa ciri-ciri orang arif (orang yang telah sempurna makrifatnya) adalah:

1. Cahaya makrifat tidak pernah padam dari dirinya berupa ketaqwaan

2. Tidak meyakini hakikat kebenaran suatu ilmu yang menghapuskan atau membatalkan secara zahirnya.

3. Kenikmatan dari Allah tidak membuatnya lupa dan melanggar perintah Allah SWT.

Beliau mengatakan bahawa akhlak seorang arifbillah adalah Allah (bukan arifbillah itu Allah sebenar), tetapi orang yang arif itu akan bersifat seperti sifat-sifat Tuhan dan beliau selalu menjaga perilakunya agar tidak terjebak dalam kenistaan dunia yang menghanyutkan dan menghinakan orang yang dekat kepada Allah.

Selain konsep makrifat beliau juga mengungkapkan pengalamannya tentang khauf (rasa takut kepada Allah). Menurutnya, jika kebenaran telah meliputi diri seseorang maka kebenaran akan rasa takut kepada Allah akan meliputi dirinya. Beliau mengatakan: “takut itu penjaga amal dan harap itu adalah penolong bencana”

Beliau adalah tokoh yang penuh dengan mahabbah terhadap Tuhan, nampak dari perkataan beliau: “aku memanggilMu, di hadapan orang lain dengan Ilahi (wahai Tuhan), tetapi manakala aku sendirian aku memanggilMu dengan panggilan Ya Habibi (Wahai Kekasihku)”.

Zunnun berkata Neraka bukanlah yang harus ditakuti, yang lebih ditakuti adalah ketika berpisah dari Kekasih Sejati. Ketakutannya tidak lebih dari setitis air yang dibuang ke samudera cinta Allah.

Ketika ditanya tentang apa itu mahabbah, beliau menjawab: “Mahabbah ialah mencintai apa yang dicintai Allah, membenci apa yang dibenci Allah, mengerjakan secara sempurna apa yang diperintahkan, dan meninggalkan segala sesuatu yang akan membuat kita jauh dari Allah, tidak takut pada apapun selain dari Allah, dan bersifat lembut terhadap saudara dan bersifat keras terhadap musuh-musuh Allah, dan mengikuti jejak Rasulullah dalam segala hal”

Sudah menjadi tradisi seorang sufi dengan musafir dan bersafari cinta di taman firdaus Allah yang luas di muka bumi ini, dan itu pun terjadi kepada beliau, Zunnun terkenal sering melakukan perjalanan (riadah) ke berbagai daerah, suatu hari ketika beliau akan berangkat menuju Jeddah. Beliau menumpang sebuah kapal sudagar. Ketika dalam perjalan sang saudagar kehilangan permata yang sangat berharga, dan menuduh Zunnun yang mengambil permata itu.

Disebabkan itu, Zunnun diseksa dan dianiaya oleh saudagar dan oleh anak buahnya. Beliau dipaksa untuk mengaku sesuatu perbuatan yang tidak pernah dilakukannya tersebut. Akhirnya dalam keterseksaannya beliau bermunajat kepada Allah: ”Wahai Tuhan, Engkaulah Yang Maha Tahu”. Mendadak dari laut tersebut muncullah ribuan ekor ikan nun yang membawa permata di mulutnya dan mendekati kapal. Lalu beliau mengambil salah satu permata dan menyerahkannya kepada saudagar tersebut. Sejak peristiwa aneh itu, ia digelari dengan “Zunnun” yang ertinya yang empunya ikan nun.

Zunnun meninggal pada tahun 425 Hijrah. Tatkala orang mengusung jenazahnya, muncullah sekumpulan burung hijau yang memayungi jenazahnya dan serta mengiringi jenazah dengan sayap-sayap hijau burung tersebut. Dan pada hari kedua, orang-orang menemukan tulisan pada nisan makam beliau, “Zunnun adalah kekasih Allah, diwafatkan kerana Rindu” dan setiap kali orang akan menghapus tulisan itu, maka muncul kembali seperti sedia kala.

Allah tidak akan pernah memuliakan seorang hamba dengan kemuliaan yang lebih mulia daripada ketika dia menghinakannya atas kehinaan dirinya. Dan Allah tidak menghinakan seorang hamba dengan kehinaan yang lebih hina daripada ketika dia menutupi dengan kehinaan dirinya. Kerana “Hijab” yang paling samar dan paling kuat adalah melihat diri.




Antara-antara kisah-kisah Zunnun Al-Misri:-
Kisah Pertama.

Zunnun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana beliau menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah.

Orang itu berkata: “Wahai diri!! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”

Zunnun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zunnun.

“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.

Dengan jawapan itu, Zunnun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.

“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zunnun.

“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zunnun.

“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.

“Boleh juga,” kata Zunnun.

“Nah, sekarang pergilah engkau bergerak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.

Maka segeralah Zunnun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zunnun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.

Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.

Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”

Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.

“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”

Sayangnya, puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zunnun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya.

Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses.

Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.

Lebah-lebah itu datang kepadanya menggugurkan madunya untuk dia itulah yang dimakannya dan menghilangkan lapar dan dahaga."

Zunnun sungguh terpesona mendengar cerita ganjil itu. Semasa beliau turun bukit tersebut, Zunnun melihat seekor burung buta bertenggek atas dahan pokok. Terlintas dihatinya hendak tahu bagaimana burung itu dapat makan.

Tiba-tiba burung itu terbang turun ke tanah dan mematuk tanah itu dengan muncungnya. Setelah tanah itu digalinya maka di situ dilihatnya ada jagung dan bekas emas mengandungi air. Itulah yang dimakan burung itu.

Kemudian tanah itu balik seperti biasa semula. Burung itu pun terbang balik ke atas pokok itu.

Selepas peristiwa itu, Zunnun pun bertambah yakin bahawa siapa yang mengenang Allah, dia akan diberikan Allah rezeki dan di pelihara oleh Allah, dan dia tidak akan berlindung daripada yang lain selain Allah.

Semenjak itu Zunnun tidak menghiraukan lagi hal-hal keduniaan, dan seterusnya menyebut nama Allah sentiasa dan menjalankan amalan-amalan kerohanian.


Kisah Kedua.

Beberapa waktu yang lalu, di Mesir hidup seorang sufi yang masyhur namanya Zunnun Al-Misri. Seorang pemuda mendatanginya dan bertanya:

"Tuan, saya belum faham mengapa orang seperti anda mesti berpakaian apa adanya, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman yang ini berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan namun juga untuk tujuan banyak hal lain."

Beliau hanya tersenyum, ia lalu melepaskan cincin dari salah satu jarinya, lalu berkata:

"Sahabat muda, akan ku jawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah, bolehkah kamu menjualnya seharga satu keping emas".

Melihat cincin Zunnun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu dan berkata:

"Satu keping emas ?
Saya tidak yakin cincin ini mampu dijual seharga itu".
"Cubalah dulu sahabat muda. Siapa tahu kamu berhasil", jawab Zunnun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tak seorang pun berani membeli seharga satu keping emas. Mereka menawarnya hanya dengan satu keping perak.

Tentu saja, pemuda itu tidak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia kembali kepada Zunnun dan memberitahunya:

"Tuan, tidak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keping perak".

Sambil tersenyum si Zunnun berkata:

"Sekarang pergilah kamu ke tukang emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik tukang emas di sana. Jangan buka harga. Dengarkan saja, bagaimana ia memberikan penilaian".

Pemuda itu pun pergi ke tukang emas yang dimaksudkan itu. Kemudian selepas itu, Ia kembali kepada Zunnun dengan raut wajah yang lain. Ia kemudian memberitahu:

"Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sesungguhnya dari cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi daripada yang ditawar oleh para pedagang di pasar".

Zunnun tersenyum simpul sambil berkata:

"Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tidak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat ke kedalaman jiwa. Diperlukan kearifan untuk menjenguknya. Dan itu perlu proses dan masa, wahai sahabat mudaku. Kita tidak dapat menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas."

Itulah sedikit sebanyak dari kisah-kisah salah seorang Sang Sufi iaitu Zunnun Al-Misri. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah beliau. Hayati serta ungkapkan kalam-kalam tersirat yang didalam kisah ini. Insyallah kita akan temui jalan-jalan kerohanian sepertimana ahli-ahli sufi lakukan.
Wallahu Taala A’lam..


 

0 Ulasan:

Post a Comment