Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...

19 July 2011

Suratan Takdir

Assalamualaikum wbt.. syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi  nafas lagi untuk hidup di muka bumi Allah ini. Apa-apa yang kita rancang semua ditentukan oleh Allah hanya kita yang mahu memohon doa agar diberi kehidupan untuk hari yang akan datang. Semoga diberi iman dan ditingkatkan taqwa. Insyallah.. Apa yang ingin ditinta di sini ialah tentang takdir rezeki, jodoh dan ajal. Malangnya ramai yang berputus asa tanpa rasa bersalah kerana apa yang ditetapkan oleh Allah soal rezeki, jodoh dan ajal ini ada hikmah di sebaliknya. 


Rezeki ada di mana sahaja Cuma kita berusaha dan ikhtiar untuk mendapatkan nya. Bersyukur dengan apa yang ada jangan risau tentang rezeki. 
Firman Allah:
Barangsiapa yang bersyukur kepada-Ku maka akan Ku-tambah nikmat untuknya, barangsiapa yang kufur maka baginya azab yang pedih”.
( Surah Ibrahim )

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang Luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), Maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah An-Nisa )

“Jikalau Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi…”
( Surah Al-A’raf )

Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus)
rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan
kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.
( Surah Al-Ankabut )

Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
( Surah Ali Imran )

Maka usahlah risau tentang rezeki yang Allah tentukan kepada hamba-hambanya dan bukanlah makhluk yang menentukannya. Tidak ada satu makhluk pun di dunia ini yang sanggup menjamin rezeki makhluk lainnya, hanya Allah SWT lah yang mampu melakukan hal tersebut. Dia tahu betul apa yang diperlukan para makhluk-Nya, dan Dia tidak pernah menciptakan satu makhluk pun untuk hidup di dunia ini tanpa menperoleh rezeki.

Namun masih ada sebahagian dari kita yang tidak yakin akan rezeki dari Allah SWT. Tidak sabar dengan rezeki yang telah digariskan oleh-Nya kepadanya, sehingga ada di antara mereka sengaja melakukan jalan pintas dan salah, sehingga terjeremus dalam jurang masalah dan kesesatan yang sangat dalam. Ada yang mencarinya dengan mendatangi dukun, ada yang memperolehnya dengan jalan yang tidak halal seperti korupsi, manipulasi, nombor ekor dan sebagainya.

Padahal, Allah SWT sama sekali tidak pemah lupa akan janji-Nya. Adalah hal yang sangat perlu kita ketahui, bahwa Allah SWT memberikan rezeki kepada setiap makhuk-Nya sesuai ukuran yang tepat, tidak kurang dan tidak lebih iaitu Allah telah menentukan kadar rezeki setiap hamba-Nya, sehingga tidaklah perlu bagi kita untuk saling iri dan dengki pada rezeki yang telah diperolehi saudara ataupun jiran tetangga kita.

Kita tidak perlu takut, cemas, gundah gulana kerana takut tidak memperoleh rezeki atau sebaliknya, tidak perlu kita memaksakan diri untuk memperoleh rezeki sebanyak-banyaknya hingga melupakan hal-hal yang penting dalam hidup kita kerana semua itu telah diatur oleh Allah SWT.


Soal jodoh itu yang selalu bermain di dalam perasaan dua pasangan yang ingin akhiri percintaan dengan perkahwinan. Walaupun bercinta berpuluh tahun tetapi Allah tetapkan dia bukan jodoh kita maka bukanlah jodoh kita akan tetapi jika orang jika bukan kita cintai ditakdir jodoh kita maka itulah jodoh kita. Segala yang ditentukan oleh Allah SWT ada hikmah di sebaliknya.

Allah SWT sendiri sebagai Yang Maha Pencipta makhluknya secara berpasang-pasangan tentu punya alasan sendiri untuk itu dan alasan itu hanya Allah SWT yang tahu.

Allah SWT berfirman :
(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri berpasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak berpasangan- pasangan, dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.
( Surah Asy Syuura )

Menundukan diri kepada Allah SWT, berusaha beribadah dan mengapai cintanya Allah SWT. Hendaknya sebelum kita mendapatkan cinta dari pasangan kita, alangkah muliannya kita mendapatkan cinta dari Allah SWT terlebih dahulu. Kalau Allah SWT mencintai kita kerana kita juga cinta padanya maka Allah SWT tidak akan pernah mengecewakan kita.

Akan tetapi sebaliknya ketika cinta makhluk yang kita dapatkan belum tentu bertahan selamanya. Kita tidak tahu hati manusia, terkadang cinta datang terkadang cinta pergi. Ini dunia dan sifatnya fana. Betapa banyaknya kita lihat seperti contoh artis-artis yang kebelakangan ini banyak yang kawin cerai. Melakukan pernikahan dengan biaya yang tinggi dan penuh kemewahan.

Untuk itu selayaknya usaha yang kita lakukan untuk mencari jodoh, harus kita ikuti dengan menggapai keredhaan Allah SWT dan tentunya yang paling penting diiringi doa. Doa itu yang dapat merubah takdir kalau ada sebelumnya Allah SWT telah menetapkan keburukan pada kita. Tapi dengan doa yang ikhlas dan penuh harap Allah SWT akan merubah keburukan itu menjadi kebaikan.

Firman Allah SWT:  
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka, bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
( Surat Al Baqarah )

Berserah diri atas ketentuan Allah SWT yang akan diberikan kepada kita. Bukan bererti dengan tawakal ini kita berhenti berusaha dan berdoa, tetapi kita menyerahkan seluruh usaha dan doa yang kita lakukan terus menerus itu diterima dan mendatangkan manfaat pada kita untuk mendatang jodoh yang diredhai.

Dengan itu jika tidak sanggup untuk bergelar suami mahupun isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, maka belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutannya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

Seorang teman pernah berpesan:
"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari.. Dia datangkan petir dan kilat.. kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar, Rupa-rupanya Allah ingin hadiahkan kita pelangi..
Semoga Allah mempermudahkan jodoh kita semua..

Setelah merasa nikmat dunia maka jangan kita lupa bahawasanya kita tidak akan kekal lama didunia ini. Dalam hadis Nabi bersabda: “Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara: Sedekah Jariah, atau Ilmu yang memunafaatkannya, atau Anak soleh yang mendo’akan keatasnya”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

Firman Allah SWT bermaksud: "Apabila datang ajal mereka, ia tidak akan terawal walau sesaat dan tidak akan terlewat".
( Surah Al-A'raf )

Apabila ajal telah datang maka ketika itu barulah seseorang itu akan merasakan bahawa dia tidak lain hanyalah seorang hamba yang terpaksa akur kepada sunnah alam dan terpaksa bersiap sedia untuk menemui Tuhannya. Di kala itu, barulah manusia merasakan segunung penyesalan dan sedar untung nasibnya yang sebenar.

"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang selalu kamu lari daripadanya."
( Surah Al-Qaf )

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)
( Surah an-Nisa’ )

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa seseorang manusia itu tidak boleh memisahkan dirinya dari ajal kematian. Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas hamparan.

Sesiapapun bila ditentukan matinya di sesuatu tempat dia akan pergi ke tempat itu ketika sampai ajalnya. Ini adalah penentuan dari Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud :
"Dan kalau mereka memperolehi kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah," dan kalau mereka ditimpa bencana, mereka berkata: "Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu." (Surah an-Nisa': 78)

Andai sesiapa yang meninggalkan kita dahulu mungkin kita akan merasa sedih akan tetapi kita ingatlah bahawa darinya kita datang dan dari dia kita akan di kembalikan.

Sungguh kematian adalah perkara yang menakutkan di dunia dan di akhirat bagi orang-orang yang beriman. Kematian merupakan ketentuan yang sangat berharga untuk bertemu dengan-Nya. Semoga apa yang kita harap ialah jadikanlah dunia sebagai ladang untuk mendapatkan hasil kita di sana nanti.. Insyallah


06 May 2011

Zunnun Al-Misri Sang Pencinta Sufi


Assalamualaikum.. Alhamdulillah kerana diberi nafas dan segala nikmat hidup, sudah lama sekian menyepi akhirnya aku kembali untuk meninta lagi. Menyepi kerana menunaikan hak kewajipan sebagai seorang penuntut ilmu serta mencari petunjuk Ilahi. Ingin aku tintakan kali ini tentang salah seorang ulama sufi. Indah nama dan tingkahlakunya. Manis juga diberikan nama bagi bayi-bayi yang baru dilahirkan.

Berasal dari Akhtaman salah satu kota di daerah pedalaman Mesir, beliau dimakamkan di Pemakaman Imam Asy-Syafi’e. Nama beliau Al-Imam Al-A'rif Al-Sufy Al-Wasil Abu Al-Faidl Tsauban Bin Ibrahim Al-Misri, dan terkenal dengan nama Zunnun Al-Misri. Merupakan salah sorang tokoh sufi yang terkenal dengan ilmu makrifatnya. Fahaman tentang Makrifat sudah banyak dikemukakan oleh tokoh sufi sebelum Zunnun Al-Misri, tapi yang paling menekankan konsep Makrifat pada ajaran tasawuf adalah Zunnun Al-Misri.

Dalam ilmu makrifat, beliau mengatakan bahawa ciri-ciri orang arif (orang yang telah sempurna makrifatnya) adalah:

1. Cahaya makrifat tidak pernah padam dari dirinya berupa ketaqwaan

2. Tidak meyakini hakikat kebenaran suatu ilmu yang menghapuskan atau membatalkan secara zahirnya.

3. Kenikmatan dari Allah tidak membuatnya lupa dan melanggar perintah Allah SWT.

Beliau mengatakan bahawa akhlak seorang arifbillah adalah Allah (bukan arifbillah itu Allah sebenar), tetapi orang yang arif itu akan bersifat seperti sifat-sifat Tuhan dan beliau selalu menjaga perilakunya agar tidak terjebak dalam kenistaan dunia yang menghanyutkan dan menghinakan orang yang dekat kepada Allah.

Selain konsep makrifat beliau juga mengungkapkan pengalamannya tentang khauf (rasa takut kepada Allah). Menurutnya, jika kebenaran telah meliputi diri seseorang maka kebenaran akan rasa takut kepada Allah akan meliputi dirinya. Beliau mengatakan: “takut itu penjaga amal dan harap itu adalah penolong bencana”

Beliau adalah tokoh yang penuh dengan mahabbah terhadap Tuhan, nampak dari perkataan beliau: “aku memanggilMu, di hadapan orang lain dengan Ilahi (wahai Tuhan), tetapi manakala aku sendirian aku memanggilMu dengan panggilan Ya Habibi (Wahai Kekasihku)”.

Zunnun berkata Neraka bukanlah yang harus ditakuti, yang lebih ditakuti adalah ketika berpisah dari Kekasih Sejati. Ketakutannya tidak lebih dari setitis air yang dibuang ke samudera cinta Allah.

Ketika ditanya tentang apa itu mahabbah, beliau menjawab: “Mahabbah ialah mencintai apa yang dicintai Allah, membenci apa yang dibenci Allah, mengerjakan secara sempurna apa yang diperintahkan, dan meninggalkan segala sesuatu yang akan membuat kita jauh dari Allah, tidak takut pada apapun selain dari Allah, dan bersifat lembut terhadap saudara dan bersifat keras terhadap musuh-musuh Allah, dan mengikuti jejak Rasulullah dalam segala hal”

Sudah menjadi tradisi seorang sufi dengan musafir dan bersafari cinta di taman firdaus Allah yang luas di muka bumi ini, dan itu pun terjadi kepada beliau, Zunnun terkenal sering melakukan perjalanan (riadah) ke berbagai daerah, suatu hari ketika beliau akan berangkat menuju Jeddah. Beliau menumpang sebuah kapal sudagar. Ketika dalam perjalan sang saudagar kehilangan permata yang sangat berharga, dan menuduh Zunnun yang mengambil permata itu.

Disebabkan itu, Zunnun diseksa dan dianiaya oleh saudagar dan oleh anak buahnya. Beliau dipaksa untuk mengaku sesuatu perbuatan yang tidak pernah dilakukannya tersebut. Akhirnya dalam keterseksaannya beliau bermunajat kepada Allah: ”Wahai Tuhan, Engkaulah Yang Maha Tahu”. Mendadak dari laut tersebut muncullah ribuan ekor ikan nun yang membawa permata di mulutnya dan mendekati kapal. Lalu beliau mengambil salah satu permata dan menyerahkannya kepada saudagar tersebut. Sejak peristiwa aneh itu, ia digelari dengan “Zunnun” yang ertinya yang empunya ikan nun.

Zunnun meninggal pada tahun 425 Hijrah. Tatkala orang mengusung jenazahnya, muncullah sekumpulan burung hijau yang memayungi jenazahnya dan serta mengiringi jenazah dengan sayap-sayap hijau burung tersebut. Dan pada hari kedua, orang-orang menemukan tulisan pada nisan makam beliau, “Zunnun adalah kekasih Allah, diwafatkan kerana Rindu” dan setiap kali orang akan menghapus tulisan itu, maka muncul kembali seperti sedia kala.

Allah tidak akan pernah memuliakan seorang hamba dengan kemuliaan yang lebih mulia daripada ketika dia menghinakannya atas kehinaan dirinya. Dan Allah tidak menghinakan seorang hamba dengan kehinaan yang lebih hina daripada ketika dia menutupi dengan kehinaan dirinya. Kerana “Hijab” yang paling samar dan paling kuat adalah melihat diri.




Antara-antara kisah-kisah Zunnun Al-Misri:-
Kisah Pertama.

Zunnun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana beliau menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah.

Orang itu berkata: “Wahai diri!! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”

Zunnun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zunnun.

“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.

Dengan jawapan itu, Zunnun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.

“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zunnun.

“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”
“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zunnun.

“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.

“Boleh juga,” kata Zunnun.

“Nah, sekarang pergilah engkau bergerak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.

Maka segeralah Zunnun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zunnun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.

Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.

Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”

Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.

“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”

Sayangnya, puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zunnun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya.

Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses.

Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.

Lebah-lebah itu datang kepadanya menggugurkan madunya untuk dia itulah yang dimakannya dan menghilangkan lapar dan dahaga."

Zunnun sungguh terpesona mendengar cerita ganjil itu. Semasa beliau turun bukit tersebut, Zunnun melihat seekor burung buta bertenggek atas dahan pokok. Terlintas dihatinya hendak tahu bagaimana burung itu dapat makan.

Tiba-tiba burung itu terbang turun ke tanah dan mematuk tanah itu dengan muncungnya. Setelah tanah itu digalinya maka di situ dilihatnya ada jagung dan bekas emas mengandungi air. Itulah yang dimakan burung itu.

Kemudian tanah itu balik seperti biasa semula. Burung itu pun terbang balik ke atas pokok itu.

Selepas peristiwa itu, Zunnun pun bertambah yakin bahawa siapa yang mengenang Allah, dia akan diberikan Allah rezeki dan di pelihara oleh Allah, dan dia tidak akan berlindung daripada yang lain selain Allah.

Semenjak itu Zunnun tidak menghiraukan lagi hal-hal keduniaan, dan seterusnya menyebut nama Allah sentiasa dan menjalankan amalan-amalan kerohanian.


Kisah Kedua.

Beberapa waktu yang lalu, di Mesir hidup seorang sufi yang masyhur namanya Zunnun Al-Misri. Seorang pemuda mendatanginya dan bertanya:

"Tuan, saya belum faham mengapa orang seperti anda mesti berpakaian apa adanya, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman yang ini berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan namun juga untuk tujuan banyak hal lain."

Beliau hanya tersenyum, ia lalu melepaskan cincin dari salah satu jarinya, lalu berkata:

"Sahabat muda, akan ku jawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah, bolehkah kamu menjualnya seharga satu keping emas".

Melihat cincin Zunnun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu dan berkata:

"Satu keping emas ?
Saya tidak yakin cincin ini mampu dijual seharga itu".
"Cubalah dulu sahabat muda. Siapa tahu kamu berhasil", jawab Zunnun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tak seorang pun berani membeli seharga satu keping emas. Mereka menawarnya hanya dengan satu keping perak.

Tentu saja, pemuda itu tidak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia kembali kepada Zunnun dan memberitahunya:

"Tuan, tidak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keping perak".

Sambil tersenyum si Zunnun berkata:

"Sekarang pergilah kamu ke tukang emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik tukang emas di sana. Jangan buka harga. Dengarkan saja, bagaimana ia memberikan penilaian".

Pemuda itu pun pergi ke tukang emas yang dimaksudkan itu. Kemudian selepas itu, Ia kembali kepada Zunnun dengan raut wajah yang lain. Ia kemudian memberitahu:

"Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sesungguhnya dari cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi daripada yang ditawar oleh para pedagang di pasar".

Zunnun tersenyum simpul sambil berkata:

"Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tidak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat ke kedalaman jiwa. Diperlukan kearifan untuk menjenguknya. Dan itu perlu proses dan masa, wahai sahabat mudaku. Kita tidak dapat menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas."

Itulah sedikit sebanyak dari kisah-kisah salah seorang Sang Sufi iaitu Zunnun Al-Misri. Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah beliau. Hayati serta ungkapkan kalam-kalam tersirat yang didalam kisah ini. Insyallah kita akan temui jalan-jalan kerohanian sepertimana ahli-ahli sufi lakukan.
Wallahu Taala A’lam..


 

09 April 2011

Tundukkan Hawa Nafsu


Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِـــنِين

"Wallazina jahadu fina lanahdiyannahum subulana, wainnallaha lama’al muhsinin."

Bermaksud: "Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang berbuat baik."

(Al Ankabut: 69)

Syeikh Ibn Ata’illah dalam kitab Al-Hikam menerusi katanya: “Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syahwatnya?


Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar.

Baginda Nabi Muhammad S.A.W juga bersabda: Seorang mujahid iaitu seorang yang berjihad ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.

Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Mujahadah melawan hawa nafsu ialah menempuh tiga langkah seperti berikut:

1. Takhalli

2. Tahalli

3. Tajalli

Ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan melaksanakan latihan-latihan rohaniah yang dinamakan riadhatunnafsi yakni latihan untuk melawan atau menentang atau memerangi semua kehendak-kehendak nafsu yang jahat. Caranya ialah dengan membuat latihan menolak segala kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu.


1. Takhalli
Maksudnya mengosongkan atau membuang atau menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Di peringkat ini, kita mesti melawan dan membuang secara paksa dan terus menerus semua kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan yang dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak membenci, memusuhi dan membuang kehendak-kehendak tersebut jauh-jauh secara paksa dan terus menerus, maka nafsu jahat itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Apabila nafsu jahat dibiarkan menguasai kita, iman tidak akan ada tempat di hati. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi akan menyembah hawa nafsunya. Oleh itu, usaha melawan hawa nafsu jangan diambil ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.


2. Tahalli
Maksudnya mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji. Setelah kita mujahadah mengosongkan hati dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji, segera pula kita hiasi hati kita itu dengan sifat-sifat mahmudah atau terpuji. Untuk ini, sekali lagi kita perlu bermujahadah. Untuk membuang sifat-sifat mazmumah dari hati perlu mujahadah. Untuk mengisi hati dengan sifat-sifat mahmudah pun perlu mujahadah. Kalau tidak, iman tidak akan wujud dalam hati kerana iman itu berdiri di atas sifat-sifat mahmudah.


3. Tajalli
Maksudnya terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau keadaan sentiasa rasa bertuhan. Ia adalah sebagai hasil dari mujahadah. Selepas peringkat takhalli dan tahalli, kita akan memperolehi tajalli. Ia satu perasaan yang datang sendiri tanpa perlu diusahakan lagi. Agak sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan bahasa tetapi secara ringkas, secara mudah dan secara asasnya, ia adalah rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi oleh Tuhan, hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan kerinduan tertuju kepada Allah.

Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam kecintaan pada-Nya. Harapan dan pergantungan hati tidak ada pada yang lain lagi selain Allah. Apa sahaja masalah hidup dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada apa-apa kesusahan dalam hidup. Yang baik mahupun yang buruk dirasakan sebagai hadiah dari Tuhan. Dunia terasa bagaikan Syurga. Inilah kebahagiaan yang sejati dan abadi iaitu kebahagiaan hati.

Berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata.

Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?

Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.

Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?

Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu. Apa sahaja kejahatan, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.


Tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:-

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca Al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan Al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskan nafsu.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah S.A.W kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:-

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah, Ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

Kesimpulannya:-
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara berperingkat-peringkat. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.”

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah dan jangan pula sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Selain itu hendaklah bermujahadah dalam beramal. Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya, ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak. Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu. Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat. Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh.

Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas fit Tafsir: Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibnu Mubarak berkata, 'Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu.'

Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata, 'Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: 'Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang soleh itu nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.'