Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...
Showing posts with label Tasawuf. Show all posts
Showing posts with label Tasawuf. Show all posts

09 April 2011

Tundukkan Hawa Nafsu


Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِـــنِين

"Wallazina jahadu fina lanahdiyannahum subulana, wainnallaha lama’al muhsinin."

Bermaksud: "Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang berbuat baik."

(Al Ankabut: 69)

Syeikh Ibn Ata’illah dalam kitab Al-Hikam menerusi katanya: “Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syahwatnya?


Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar.

Baginda Nabi Muhammad S.A.W juga bersabda: Seorang mujahid iaitu seorang yang berjihad ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.

Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”

Mujahadah melawan hawa nafsu ialah menempuh tiga langkah seperti berikut:

1. Takhalli

2. Tahalli

3. Tajalli

Ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan melaksanakan latihan-latihan rohaniah yang dinamakan riadhatunnafsi yakni latihan untuk melawan atau menentang atau memerangi semua kehendak-kehendak nafsu yang jahat. Caranya ialah dengan membuat latihan menolak segala kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu.


1. Takhalli
Maksudnya mengosongkan atau membuang atau menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Di peringkat ini, kita mesti melawan dan membuang secara paksa dan terus menerus semua kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan yang dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak membenci, memusuhi dan membuang kehendak-kehendak tersebut jauh-jauh secara paksa dan terus menerus, maka nafsu jahat itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Apabila nafsu jahat dibiarkan menguasai kita, iman tidak akan ada tempat di hati. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi akan menyembah hawa nafsunya. Oleh itu, usaha melawan hawa nafsu jangan diambil ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.


2. Tahalli
Maksudnya mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji. Setelah kita mujahadah mengosongkan hati dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji, segera pula kita hiasi hati kita itu dengan sifat-sifat mahmudah atau terpuji. Untuk ini, sekali lagi kita perlu bermujahadah. Untuk membuang sifat-sifat mazmumah dari hati perlu mujahadah. Untuk mengisi hati dengan sifat-sifat mahmudah pun perlu mujahadah. Kalau tidak, iman tidak akan wujud dalam hati kerana iman itu berdiri di atas sifat-sifat mahmudah.


3. Tajalli
Maksudnya terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau keadaan sentiasa rasa bertuhan. Ia adalah sebagai hasil dari mujahadah. Selepas peringkat takhalli dan tahalli, kita akan memperolehi tajalli. Ia satu perasaan yang datang sendiri tanpa perlu diusahakan lagi. Agak sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan bahasa tetapi secara ringkas, secara mudah dan secara asasnya, ia adalah rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi oleh Tuhan, hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan kerinduan tertuju kepada Allah.

Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam kecintaan pada-Nya. Harapan dan pergantungan hati tidak ada pada yang lain lagi selain Allah. Apa sahaja masalah hidup dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tidak ada apa-apa kesusahan dalam hidup. Yang baik mahupun yang buruk dirasakan sebagai hadiah dari Tuhan. Dunia terasa bagaikan Syurga. Inilah kebahagiaan yang sejati dan abadi iaitu kebahagiaan hati.

Berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata.

Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian?

Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.

Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya, selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?

Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu. Apa sahaja kejahatan, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.


Tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:-

i) Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, Nabi Muhammad S.A.W menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca Al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan Al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskan nafsu.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah S.A.W kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:-

“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah, Ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”

Kesimpulannya:-
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara berperingkat-peringkat. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.”

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah dan jangan pula sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Selain itu hendaklah bermujahadah dalam beramal. Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya, ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak. Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu. Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat. Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh.

Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas fit Tafsir: Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibnu Mubarak berkata, 'Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu.'

Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata, 'Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: 'Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang soleh itu nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia.'

25 March 2011

Pandangan Ulama' Tentang Ahli Sufi



1) Imam Abu Hanifah R.A (wafat 150 H):-
Seorang ahli fikir Hanafi, Al-Hasfaki Radiyallahu 'anhu penulis kitab Al-Durr Al-Mukhtar telah mengutip: Bahawa Abu Ali Ad-Daqqaq Radiyallahu 'anhu berkata : Saya telah mengambil thariqat ini dari Abu Al-Qasim An-Nasr Abadi Radiyallahu 'anhu, beliau berkata: saya mengambilnya dari As-Syibili dari As-Saqathi dari Ma'ruf al Kharkhi, dari Daud Ath-Tho'i dan beliau mengambil ilmu sekaligus thariqat dari Imam Abu Hanifah radiyallahu 'anhu. Setiap dari mereka memuji dan mengakui keutamaan Imam Abu Hanifah Radiyallahu 'anhu. Kemudian Imam al Hasfaki berpendapat :

"Sungguh aneh sekali..! Bukankah para pembesar ulama itu sebagai teladanmu? Apakah mereka diragukan pengakuan kebanggaannya ? Sedang mereka adalah para imam Thariqat ini sekaligus tokoh syari'ah (feqah) dan thariqat (tasawwuf), dan tokoh yang datang setelahnya dalam perkara ini adalah para pengikutnya, dan setiap orang yang bertolak belakang dengan apa yang mereka pegang itu ditolak dan dianggap bid'ah.

Abdullah Bin Al-Mubarak Radiyallahu 'anhu berkata :
"Tidak seorangpun yang lebih patut menjadi ikutan selain Imam Abu Hanifah kerana beliau sebagai seorang imam yang bertaqwa, bersih, wara', 'alim dan faqih, beliau telah dibukakan kasyaf, faham, kecerdasan dan ketaqwaan yang tidak ada pada orang lain.

Imam nawawi mengatakan kepada seorang yang bercerita kepadanya :
Aku telah datang dari Imam Abu Hanifah, beliau mengatakan : "Engkau telah datang dari penduduk bumi yang sangat ahli ibadah. Daripada sinilah kita dapat mengetahui bahawa para Imam Mujtahid dan ulama yang 'amilin mereka itu sebenarnya adalah orang-orang sufi"
(Hasyiyah Ibn Abidin)

2) Imam Malik R.A (wafat 179H)
Imam Malik berkata :
"Barangsiapa yang memahami feqah tanpa bertasawwuf maka fasiq, dan barangsiapa yang bertasawwuf tanpa memahami feqah maka zindiq, dan barangsiapa yang telah menghimpun antara keduanya bererti ia telah merealisasikan kebenaran.
(Hasyiyah Allamah Al-Adawi, Sheikh Ali Al-Adawi)

3) Imam Asy Syafie (wafat 204H)
Imam Asy Syafie berkata :
"Saya telah suhbah (bersahabat) dengan kaum Sufi selama 10 tahun, kemudian hanya mendapatkan pelajaran dua huruf, dalam satu riwayat tiga ungkapan :

i. Waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia akan menebasmu.

ii. Nafsumu jika tidak kau sibukkan dengan yang haq (benar), maka ia menyibukkanmu dengan bathil (salah).

iii. Rasa ketiadaan daya (merasakan wujud kebesaran Allah) itu keselamatan (terpelihara) dirimu.
(Tahqiq Haqiqah Aliyah, Sheikh Al-Hafiz Al-Suyuti)

Berkata Imam Syafi'e lagi :
    Aku cinta kepada dunia kalian itu tiga :
    a) Tidak berlebih-lebihan (sederhana)
    b) Bergaul kepada orang dengan lemah lembut.
    c) Meneladani cara tokoh-tokoh tasawwuf.
(Kasyful Khafa', Imam Al Ajluni)

4) Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H)
Pada awalnya sebelum Imam Ahmad bersuhbah (bersahabat) kepada orang sufi berkata kepada puteranya :
"Wahai puteraku berpeganglah kepada Hadith, jauhilah mereka yang menamakan dirinya sufi, kerana boleh salah satu daripada mereka itu seorang yang bodoh terhadap hukum-hukum agama."
Namun ketika beliau terlah bersuhbah dengan Abu Hamzah Al-Baghdadi As-Sufi dan mengetahui keadaan mereka, beliau berkata kepada puteranya : "Wahai puteraku, engkau harus bermujalasah (duduk bersama-sama) dengan kaum sufi, kerana mereka telah menambahkan ilmu, muraqqabah, takut kepada Allah, zuhud dan ketinggian semangat kita"
(Kasyful Khafa', Imam al Ajluni)

Telah berkata Imam Muhammad As-Safaraini Al-Hanbali daripada Ibrahim bin Abdullah Al-Qalansi : Bahawa Imam Ahmad telah berkata tentang kaum Sufi :

"Aku tidak mengetahui orang yang lebih utama daripada mereka (sufi). Lalu ditanyakan: Mereka itu melantunkan nasyid, kemudian saling hanyut diri. Beliau menjawab : "Biarkan mereka bergembira sesaat bersama Allah Subahanahu Wa Ta'ala".
(Manzumatul Adab)

5) Imam Abu Abdullah Al-Harits Al-Muhasibi (wafat 243H)
Dalam kitab Al-Wasaya merupakan salah satu kitab induk ahli tasawwuf yang diakui, beliau berkata tentang pengalaman mujahadahnya yang pahit untuk mendapat hak (Allah) sehingga mendapat petunjuk ke jalan Tasawwuf dan pada tokohnya :

 ... Maka Allah menghubungkanku kepada satu golongan hamba-Nya yang aku dapatkan pada mereka tanda-tanda ketaqwaan, wara' dan pengutamaan kehidupan akhirat atas dunia, seta aku mendapatkan bimbingan dan pesan-pesan mereka yang bersesuaian dengan pendapat para Imam umat...
(Kitab Al-Wasoya, Imam al Muhasibi)

6) Imam al Izz bin Abdus Salam (wafat 660H)
Sultan Ulama 'Izzuddin Bin Abdus salam berkata :
"Orang-orang sufi itu telah membangun landasan di atas kaedah syariah yang tidak menghancurkan dunia dan akhirat. Sedangkan selain mereka berdiri di atas rusum (zahir sahaja). Peristiwa karamah serta khwariqul adat yang terjadi di tangan mereka dapat dijadikan sebagai dalil kebenarannya. Hal itu, bahagian dari kedekatan Allah serta redhaNya kepada mereka.

7) Imam an Nawawi (wafat 676H)
Imam an Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Maqasid.
Prinsip asas Thariqat Tasawwuf itu ada lima :
*  Taqwa kepada Allah di saat sendiri dan bersama orang ramai. Untuk merealisasikan ketaqwaan ini adalah dengan menanamkan sifat wara' dan istiqamah.
* Mengikuti sunnah dalam perkataan dan perbuatan. Untuk merealisasikannya dengan menjaga (sunnah) dan berakhlaq mulia.
* Berpaling dari makhluk di saat bersama dan berpisah (maksudnya hatinya hanya bergantung kepada Allah dalam susah dan senang). Untuk merealisasikannya dengan menanamkan sabar dan tawakkal.
* Redha kepada Allah kepada yang sedikit dan banyak. Untuk merealisasikan redha kepada Allah dengan menanamkan akhlaq qana'ah dan menyerah diri (tafwidh).
 * Kembali kepada Allah dalam susah dan senang. Dan merealisasikannnya dengan memanjatkan puja dan puji dan syukur kepada Allah apabila mengalami kesenangan dan sabar serta mengadu kepada Allah apabila dalam kesulitan.

22 February 2011

Tasawuf itu Menghalusi

Mengenal pengertian tasawuf:-

Zakaria Al-Ansari berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang dengannya boleh mengetahui tentang pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs), memperbaiki budi pekerti serta pembangunan lahir dan batin, untuk memperolehi kebahagian yang abadi.”
Ahmad Zaruq berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang bertujuan untuk memperbaiki hati dan memfokuskan hanya untuk Allah semata-mata segalanya. “Fikih adalah ilmu yang bertujuan untuk memperbaiki amal, memelihara segala peraturan dan menampakkan hikmah dari setiap hukum sedangkan ilmu tauhid adalah ilmu yang bertujuan untuk mewujudkan dalil-dalil dan menghiasi iman dengan keyakinan, sebagaimana ilmu kedoktoran untuk memelihara badan dan ilmu nahu untuk memelihara lisan.”
Imam Junaid berkata: “Tasawuf adalah berakhlak luhur dan meninggalkan semua akhlak tercela.”
Di antara ulama ada yang mengatakan bahawa tasawuf secara keseluruhannya adalah akhlak. Barangsiapa memberimu bekal dengan akhlak, maka dia telah memberimu bekal dengan tasawuf.
Abu Hassan Asy-Syadzili berkata: “Tasawuf adalah melatih jiwa untuk tekun beribadah dan kembali kepada hukum-hukum Allah SWT.”
Ibnu Ujaibah berkata: “Tasawuf adalah ilmu yang dengannya dapat diketahui cara untuk mencapai kepada Allah SWT, membersihkan batin dari semua akhlak tercela dan menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji.  Awal tasawuf adalah ilmu ,pertengahannya adalah amal dan akhirnya adalah kurnia.”
Penulis Kasyf Azh-Zhunun mendefinasikan tasawuf sebagai ilmu yang dengannya diketahui cara manusia sempurna meniti jalan menuju kebahagian. Dia juga mendefinasikan tasawuf dalam syair berikut:
“Tasawuf adalah ilmu yang tidak diketahui kecuali oleh orang yang mengetahui kebenaran. Dia tidak akan dikenali oleh orang yang tidak mengalaminya dan bagaimana mungkin orang buta dapat melihat cahaya.”
Dalam buku Qawaid Tasawwuf, Ahmad Zaruq mengatakan bahawa kata tasawuf telah didefinasikan dan ditafsirkan dari berbagai aspek, sehingga mencapai sekitar dua ribu definasi. Semua itu disebabkan kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah yang dicapai dengan berbagai cara.
Menurut Syeikh Abdul Qadir Isa, tiang penyangga tasawuf adalah penjernihan hati dari kotoran kebendaan dan asasnya adalah hubungan manusia dengan pencipta yang maha agung. Sufi adalah orang yang hati dan hubungan murni hanya untuk Allah sehingga Allah memberinya karamah. Subhanallah..
(Dari Kitab Hakikat Tasauf.(Syaikh Abdul Qadir Isa)

Berkata Syeikh Abdul Qadir Isa di dalam kitabnya Haqaiq Tasawuf mengenai musuf-musuf tasawuf secara ringkasnya:
Di antara musuh-musuh tasawuf terdiri dari kalangan orentalis lagi zindiq serta para pengikutnya dan konco-konconya. Mereka telah disusun atur dan dilatih oleh golongan kafir yang jahat bagi mencela Islam. Mereka cuba memusnahkan pokok pangkal Islam dengan menimbulkan pelbagai keraguan serta menyebarkan fahaman-fahaman untuk memecahkan umat Islam. Mereka mempelajari Islam secara mendalam tetapi bertujuan untuk menyeleweng dan memusnahkan Islam. Mereka juga sentiasa memiliki sifat talam dua muka. Mereka juga mendakwa tasawuf diambil daripada Yahudi, Nasrani dan Buddha. Bermacam-macam tomahan celaan dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ulama tasawuf.  Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir orang Islam menggunapakai pandangan dan pendapat dari musuh-musuh Islam ini untuk mencela tasawuf secara keseluruhannya. Inikah yang dikatakan pejuang Islam yang sebenarnya?.
Di antara musuh-musuh tasawuf juga ialah mereka yang jahil dengan hakikat tasawuf Islam itu sendiri. Mereka tidak mempelajari daripada tokoh-tokoh ulama sufi secara jujur dan amanah serta tidak juga mengambil manfaat daripada ulama-ulama tasawuf yang ikhlas menyampaikan ilmu pengetahuan. Mereka cuba mengkaji sendiri kitab-kitab tasawuf sedangkan mereka tidak mempunyai asas dan tidak memahami maksud sebenar serta mereka juga tidak mengetahui tentang penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut oleh musuh-musuh tasawuf Islam. Maka akan timbullah pandangan negatif dan berburuk sangka terhadap tasawuf ini. Kita boleh bahagikan mereka ini kepada beberapa golongan:-

Golongan pertama:
Fikrah tentang tasawuf yang ada pada mereka diambil melalui amalan suluk sesetengah golongan yang menyelinap masuk serta menyeleweng yang terdiri daripada musuh-musuh tasawuf. Mereka tidak membezakan di antara tasawuf yang hakiki lagi suci dengan sesetengah perkara jelek dan keji yang datang menyelinap yang tiada hubungkait dengan Islam.

Golongan kedua:
Mereka merupakan golongan yang terpedaya dengan apa yang mereka dapati daripada kitab-kitab tokoh-tokoh sufi yang terdiri daripada pelbagai permasalahan yang diselinap masuk. Mereka mengambilnya sebagai suatu hakikat sabit tanpa sebarang kepastian terlebih dahulu. Mungkin juga mereka mengambil kata-kata sabit yang terdapat dalam kitab-kitab ahli sufi lalu memahaminya tanpa mengikut apa yang dikehendaki oleh kitab tersebut. Mereka mengikut fahaman cetek yang dimiliki, ilmu yang terhad serta keinginan yang tersendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ahli sufi yang jelas kefahamannya tentang syariat dan akidah. Mereka mentakwilkan kalam-kalam para ulama sufi mengikut hawa nafsu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada ahlinya yang lebih memahami.
Mereka ini seumpama mengambil ayat-ayat Al-Quran Karim yang mempunyai kesamaran (mutasyabihat) lalu mentakwilkannya sesuka hati tanpa melihat kepada ayat-ayat yang jelas (muhkamat) dan tidak juga bertanya terlebih dahulu kepada para ulama yang lebih mengetahui sepertimana yang telah dijelaskan oleh  Allah Taala di dalam Al-Quran Karim (Surah al-Imran: Ayat 7).
Sedangkan ada sebilangan dari kalangan mereka yang begitu mengecam pentakwilan (bukan menurut hawa nafsu) oleh para ulama muktabar bukan?

Golongan ketiga:
Mereka merupakan golongan yang tertipu. Mereka mencedok atau menimba ilmu pengetahuan daripada orientalis. Mereka hanya menggunapakai pandangan dan sangkaan salah dari para orientalis semata-mata.  Mereka tidak dapat membezakan di antara tasawuf Islam yang sebenarnya dengan tasawuf yang telah dicemari di sebabkan mereka tiada ilmu dan asas yang bertepatan.
Inilah di antara musuh-musuh tasawuf serta tarikat yang bertindak menyerang tasawuf dari sebelah luar ataupun dari sebelah dalam Islam.  Mereka bersungguh-sungguh menabur fitnah selagimana mereka di berikan nyawa yang sementara ini dari Allah Taala. Mungkin juga mereka lupa bahawa mereka akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Bersedialah!!

Tasawuf tidak boleh di ceritakan dengan zahir tetapi secara batin. Maksudnya bukan tak boleh secara zahir tapi harus diceritakan sekadar fahaman seseorang itu. Andainya di ceritakan secara mendalam secara zahir inilah yang menyebabkan ramai yang menganggap ilmu tasawuf ini banyak menyesatkan manusia. Bak kata pepatah orang tua dulu-dulu:  “kasar dgn kasar dan halus dgn halus” dalam tasawuf juga sudah terkandung segala-galanya dan tiada yang lebih dari itu hanyalah "Dia" yakni Allah SWT semata-mata..

16 February 2011

Antara Hijab dan Kesucian


Hijab demi hijab yang menghijab
dengan beribu ribu hijab..
Kesucian adalah membuka segala hijab...
Cahaya kesucian menyingkap kegelapan hijab..

Sucikan diri dari dosa....
Bertaubatlah..
dengan Taubat Nasuha...
sucikan diri dari hadas...bersuci/berwuduklah
suci kan hati dari sifat mazmumah....
isikan dengan mahmudah..

Suci kan hati dengan
Zkirullah...
Allah,Allah,Allah...
Inilah jalan pembuka hijab...
Barang yang suci harus
diletak ditempat yang Suci....


Ubat Bagi Hati

Al-Quran menempatkan zikrullah  sebagai pintu pengetahuan makrifatullah, sebagaimana tercantum dalam surah Ali Imran, ayat 190-191 yang bermaksud:


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat ALLAH) bagi orang-orang yang berakal; iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
'Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka' "
(Surah Ali Imran, ayat 190-191 ). 

Dengan demikian, zikir termasuklah ibadah yang bebas dan tidak ada batasannya. Firman Allah:-
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا
خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
-surah Ali Imran ayat 20-
sentiasa mengingati dlm apa jua keadaan...bukan dengan sebutan sahaja tetapi memain perana didalam hati dengan mengingati Allah...
Termasuklah juga kaum intelektual yang sedang meneliti fenomena alam, sehingga menemui sesuatu yang bermanfaat bagi seluruh manusia...

Zikrullah merupakan alat pembangkit kesedaran diri yang tenggelam, dan sebab itulah zikir lebih komprehensif dan umum dari berfikir. Zikir melahirkan fikir serta kecerdasan jiwa yang luas dan kerana itulah zikrullah bukan hanya dapat diertikan dengan menyebut nama ALLAH, akan tetapi zikrullah merupakan sikap mental spiritual mematuhkan dan memasrahkan diri kepada ALLAH SWT..
Dari Darda' ra: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 
"Mahukah kalian aku beritakan sesuatu yang lebih baik dari amal-amal kalian, lebih suci dihadapan penguasa kalian, lebih luhur di dalam darjat kalian, lebih bagus bagi kalian daripada menafkahkan emas dan perak, dan lebih bagus daripada bertemu musuh kalian (berperang) kemudian kalian menebas leher-leher mereka atau mereka juga menebas leher-leher kalian?"
Mereka berkata, "Baik, ya Rasulullah .."
Baginda bersabda, "Zikrullah" atau ingat kepada ALLAH . .
(Dikeluarkan oleh At Tirmizi, Ibnu Majah , Ahmad dan Malik ). 
Betapa zikrullah ditempatkan pada kedudukan yang sangat tinggi, kerana ia merupakan jiwa atau roh seluruh ibadah, baik solat, haji, zakat, jihat dan amalan-amalan yang lain. Di suatu sudut lain, ALLAH mengancam keras orang yang tidak ingat kepada ALLAH di dalam ibadahnya. Seperti dalam surah Al-Ma'un, ayat 4-6 yang bermaksud
"Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama, maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; juga bagi orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaanya
(Surah Al-Ma'un, ayat 4-6) 
"Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)."
(Surah Al-Kautsar, ayat 2) 

         Perbuatan riyak ialah melakukan suatu yang amal perbuatan bukan untuk mencari keredhaan ALLAH, tetapi untuk mencari pujian atau kemasyhuran di kalangan masyarakat. Amal  perbuatan seperti itu yang akan ditolak oleh ALLAH, dan tidak dikategorikan sebagai perbuatan agama. Insyallah di lain masa ana akan memperbahashan tentang riyak.
"Banyak orang mendirikan solat sementara ia hanya mendapat lelah dan payah"  (Riwayat Abu Daud) 
Sabda Nabi SAW yang bermaksud; "Akan datang pada suatu masa, orang yang mengerjakan solat tetapi mereka belum merasakan solat" 
(Riwayat Ahmad)
Jadi, jelaslah maksud hadis-hadis diatas, bahawa seluruh ibadah bertujuan untuk memasrahkan diri dan rela kepada ALLAH, sebagaimana pasrahnya alam semesta.
Untuk mencapai tingkatan yang ikhlas kepada ALLAH serta menerima ALLAH sebagai junjungan dan pujaan, jalan atau saranan yang paling mudah telah diberikan ALLAH, iaitu zikrullah. Keikhlasan kepada ALLAH mustahil dapat dicapai, jika tidak berlatih dan melakukan amalan-amalan yang telah ditetapkanNya.
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu sungguh banyak bagiku, maka khabarkan kepadaku dengan sesuatu yang aku akan menepatinya" Baginda bersabda, "Sentiasa lisanmu basah dari zikir (ingat) ALLAH SWT. 
(Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Rasulullah telah memberikan penyelesaiannya dengan memerintahkan kita agar selalu membasahi lisan kita dgn menyebut dan mengagungkan nama ALLAH.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ
قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا
وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

04 February 2011

Cinta akan Akhirat kurangkan Duniawi..(Zuhud)

Sheikh Ibnu Ata'illah As-Sakandari dalam kitab nya Al-Hikam berkata:

"Tiada sedikit amal yang zahir daripada hati orang yang zahid dan tiada banyak amal yang zahir daripada hati orang yang gemar akan dunia." Bermaksud Tiadalah sedikit amal yang zahir daripada hati orang yang zahid dalam dunia kerana amalnya itu diterima kerana selamatnya daripada segala Afat (penyakit yang membinasakan dia).

Tiap-tiap perkara yang lalai daripada Allah sebaliknya mahabbah(kasih/cinta) kepada Allah semata-mata. Adapun alamatnya ialah bersamaan di sisinya antara emas dan tanah dan serupa sahaja antara kaya dan miskin. Seorang yang zahid ialah seorang yang dingin dan sunyi hatinya daripada cenderung kepada sesuatu selain daripada Allah. Adapun makna dingin hati seperti yang diutarakan oleh Imam Ghazali ialah menghapuskan fikiran seseorang terhadap dunia dan memandangnya kotor, dan sangat mengingkarinya. Dan tidak tertinggal dalam hatinya untuk mengusahakan dan menginginkannya.

Tempat tilik Allah Taala daripada segala hambanya itu ialah kepada hati hambanya seperti yang telah tersebut dalam hadis bahawasanya Allah Taala "Tiada menilik ia kepada segala rupa kamu dan hanyasanya menilik ia kepada segala hati kamu" dan apabila telah sunyi hati itu daripada kasih kepada dunia maka diamalkan lawannya iaitu (mahabbah)yang bermaksud kasih dan cinta kepada Allah yang merupakan maqam tertinggi yang dianugerahkan bagi orang-orang Yang Washil ila Allah. Ini adalah kerana hati itu tiada sunyi ia daripada sesuatu dan lawannya.

Dunia ini Allah punya segala-segala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya kita dimiliki. Kalau pun kita ada mempunyai harta kekayaan, wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kita sendiri, ia juga adalah milik Tuhan.

Kita sebagai manusia dalam keadaan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kita tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kita boleh ambil sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk masyarakat.

Allah jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hambanya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah kurniakan itu cukup untuk hamba-hambaNya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin kaya bukan secara kebetulan tapi ada hikmah di sebaliknya. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan wujud dan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya sama-sama miskin.

Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga. Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi pula siapa yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi barangan dan khidmat yang dikeluarkan. Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala.

Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. la mesti disama ratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengki mendengki. Masyarakat akan menjadi kucar- kacir, kacau-bilau, bergaduh dan berkelahi. Akan berlaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan didunia ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apa-apa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskin diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada golongan miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud. Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta ini kita punya. Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati. Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.

03 February 2011

Jiwa

Jiwa dijaga sihat seperti tubuh dapat dilihat menerusi tingkah laku mulia seseorang.
MANUSIA mempunyai dua badan iaitu jasmani (tubuh kasar) dan rohani (tubuh halus). Kedua-dua unsur ini saling melengkapi dan mempengaruhi antara satu sama lain. Demi mendapat kebahagiaan hakiki, rohani dan jasmani perlu diletakkan di landasan diredai Allah.
Rohani atau disebut juga batin, jiwa atau kalbu, sangat berkait rapat dengan tindak-tanduk manusia. Jika rohani tidak sihat atau sakit, sudah tentu tindak-tanduk manusia akan menyeleweng daripada landasan syariat.

Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap manusia menjaga dan memelihara jiwa supaya tidak dilanda pelbagai penyakit.

Dr Hamzah Ya’qub dalam buku “Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin” mengutarakan pengenalan mengenai penyakit rohani iaitu:
-Sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan.
-Sikap mental yang buruk, merosak dan merintangi peribadi memperoleh keredaan Allah.
-Sifat dan sikap dalam hati yang tidak diredhai Allah, sifat dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak.

Gambaran di atas menunjukkan mereka yang mengalami penyakit rohani, tingkah laku atau akhlaknya dipengaruhi gejala tidak sihat dan menyalahi peraturan digariskan Islam seperti dengki, pemarah, riak, takbur, terlalu cinta hal keduniaan dan suka berprasangka buruk.

Penyakit rohani yang dikira paling bahaya ialah munafik yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah yang bermaksud:
"Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.”
(Surah al-Baqarah, ayat 9-10)

Sukar mengenal orang munafik kerana mereka sangat bijak dan licik dalam menyembunyikan sifat itu. Namun, Rasulullah SAW pernah memberi tanda orang munafik melalui sabda Baginda bermaksud:
“Sesiapa yang ada padanya empat sifat dia benar-benar munafik, sesiapa yang ada satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik. Sehingga dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia dusta, apabila dipercayai dia khianat, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila bertengkar dia melampaui batas.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia apabila jasmaninya terkena penyakit ia bergegas berjumpa doktor atau mencari ubat supaya penyakitnya cepat sembuh dan tidak menderita lebih lama. Namun mereka tidak begitu jika rohaninya yang sakit.

Seharusnya perasaan takut juga dirasai apabila rohani dijangkiti penyakit. Kita perlu segera berusaha menyembuhkannya sebelum penyakit itu merebak lebih teruk. Demikian orang beriman akan bertindak segera apabila rohaninya dijangkiti penyakit.

Usaha penyembuhan paling baik ialah bermuhasabah diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang cerdik ialah yang memeriksa dirinya, bersedia untuk beramal sebagai bekal untuk mati dan orang yang lemah ialah yang selalu menurutkan keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila selalu mengikut telunjuk nafsu, keinginan hati dan melupakan segala suruhan Allah, tentu seseorang mengalami kerugian besar sama ada di dunia atau akhirat seperti firman Allah yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan supaya mentaati kebenaran dan saling nasihat-menasihati supaya menjalankan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Penyakit rohani juga boleh diubati melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermakna sedar dan serta-merta berhenti daripada memiliki sifat mazmumah itu, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang yang apabila telah berbuat kejahatan atau menganiaya diri mereka sendiri, maka mereka ingat kepada Allah dan mereka memohon ampun atas dosanya.”
(Surah Al-Imran, ayat 135)

Selalu berdoa memohon perlindungan Allah apabila diganggu syaitan, boleh mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani sebagai suruhan Allah dalam firman yang bermaksud:
“Dan jika engkau diganggu oleh satu gangguan dari syaitan, maka mohon perlindungan kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Tahu.”
(Surah al-Fussilat, ayat 36)

Sebagai mukmin yang selalu ingat kepada-Nya, hendaklah kita menjauhi kemungkaran hati yang bukan saja menyebabkan jiwa dibalut kegelisahan, malah boleh mencetuskan pergaduhan dan memecah belah masyarakat harmoni.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat mungkar dan melarang berbuat makruf dan mereka menggenggam tangannya. Mereka lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itulah orang yang fasik.” (Surah at-Taubah, ayat 67)

Oleh itu, dalam mencari kebahagiaan sebenar dan keredaan Allah, seorang Muslim perlu sentiasa menyuburkan jiwanya dengan sifat mahmudah yang dimiliki junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

Apabila rohani bersih murni, terpancar pada dirinya sahsiah dan akhlak terpuji yang disukai Allah malah, sepanjang hidupnya dipenuhi dengan melakukan amalan soleh dan sentiasa menjaga tingkah laku supaya mendapat keredaan Allah selain disenangi masyarakat sekeliling.

WALLAHU A'LAM....

01 February 2011

Iman Adalah Mutiara

JALAN-JALAN MENDAPATKAN IMAN

Di antara jalan mendapatkan iman dibentangkan oleh Imam Al Ghazali:


PERINGKAT PERTAMA

MUJAHADATUN NAFSI


Berjuang melawan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak dan mendorong kejahatan.
Seperti: Sum’ah (ingin orang tahu amal kebajikan kita lakukan), ujub, riya’, hasad dengki, dendam, marah, takabbur bercakap besar), bakhil (kedekut), penakut, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, mengumpat dan lain-lain lagi sifat mazmumah (sifat jahat).

Setelah membuang sifat mazmumah, maka kita isikan dengan sifat mahmudah (terpuji) seperti: merendah diri, ikhlas, berani, zuhud, lapang dada, redha, pemaaf, bersangka baik, suka pada kebajikan, bencikan maksiat dan lain-lain lagi.

Latihan mujahadunnafsi melalui 3 peringkat:

TAKHALLI
Berusaha berjuang membuang segala sifat jahat atau membersihkan jiwa daripada segalam sifat mazmumah.

TAHALLI
Mengisi jiwa dengan sifat mahmudah. Setelah pembersihan selesai maka isikan pula Wadah (jiwa atau hati) dengan perkara baik-baik.

TAJALLI
Peringkat merasa nikmat membuang dan meninggalkan segala sifat jahat dan merasa nikmatnya mengisi atau melakukan sifat baik serta merasakan keagungan dan kehebatan Allah. Allah akan singkap hatinya dapat merasa nikmatnya beribadah dan nikmat Musyahadah Taqarrub dengan Allah.

Apabila hati tidak dikelilingi syaitan, Maka akan dapat memandang tembus hingga ke Alam Malakut.


PERINGKAT KEDUA

Melalui amalan mengerjakan amalan sunat, terutamanya Solat Tahajjud (solat malam). Selain itu dikerjakan segala amalan sunat seperti: berpuasa sunat, berdoa, membaca Al Quran, bersedekah, membantu orang susah, melakukan kebajikan kepada masyarakat dan sebagainya. Demikian akan membantu membina dan menguatkan imannya.

Dikerjakan segala amalan sunatnya ikhlas kerana Allah semata-mata.


PERINGKAT KETIGA
TAFAKUR ATAU BERFIKIR ATAU MERENUNG KEBESARAN ALLAH
Rasakan kehebatan Allah serta melihat hikmah sesuatu yang dijadikan juga kejadian-kejadian diri kita seperti nikmat dan ujian.


CARA KEKAL DALAM IMAN

Iman yang kita dapat itu mesti dijaga dan dikawal supaya tidak rosak oleh nafsu dan syaitan.
Ulama sufi menggariskan diantaranya:

Mengawal iman dari rosak;
Rosak iman melalui 3 cara: Melalui Iktiqad, Melalui perkataan dan Melalui perbuatan diri.
Rosaknya iman apabila menolak Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tiang agama Islam.

Membenteng dan menjaga iman
Pengawal iman adalah ikhlas dan yakin, mengerjakan amalan sunat, berakhlak mulia dan Istiqamah (berterusan) dalam beramal baik, Ini dapat mencegah godaan nafsu syaitan.

Tidak berputus asa dengan Allah
Bersangka baiklah terhadap Allah Yang Maha Pemurah dan Pemberi Rahmat, Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Hendaklah sentiasa tabah, redha dengan apa yang Allah lakukan (musibah) kerana hendak menguji diri kita dan mempunyai makna yang tersirat.

Sentiasa membaharui Syahadah
Jadikanlah kalimah syahadah sebagai wirid harian dan setiap waktu, Membiasakan mengekalkan membaca zikir-zikir yang afdhol sebagaimana diajar Rasulullah saw di setiap masa terluang supaya diri termasuk orang yang sentiasa mengingati Allah..

Khalwah / Uzlah / Suluk

Khalwah ertinya ‘berserah diri’. yakni berserahdirian dalam ketaatan dan pengabdian sejati kepada Allah.
Bersuluk ertinya ‘menempuh jalan’. Jalan yang dimaksud adalah ‘jalan kembali kepada Allah’, yaitu ‘jalan taubat’ (ingat asal kata ‘taubat’ adalah ‘taaba’, ertinya ‘kembali’), atau jalan ad-diin. ‘suluk’ secara harfiah berarti ‘menempuh’, (Sin - Lam - Kaf) asalnya dari Q.S. An-Nahl , “Fasluki subula Rabbiki zululan,” bermaksud “…dan tempuhlah jalan Rabb-mu yang telah dimudahkan (untukmu).

Menempuh jalan khalwah bererti memasuki sebuah disiplin selama seumur hidup untuk menyucikan qalb dan membebaskan nafs (jiwa) dari dominasi jasadiyah dan keduniawian, dibawah bimbingan seorang mursyid sejati (yang telah meraih pengenalan akan diri sejatinya dan Rabb-nya, dan telah diangkat oleh Allah sebagai seorang mursyid bagi para pencari-Nya), untuk mengendalikan hawa nafsu, membersihkan qalb, juga belajar Al-Qur’an dan belajar agama, hingga ke tingkat hakikat dan makna. Dengan berkhalwah, seseorang mencuba untuk beragama dengan lebih dalam daripada melaksanakan syari’at saja tanpa berusaha memahami. Orang yang memasuki disiplin jalan suluk, disebut salik (bermakna ‘pejalan’).

Berkhalwah adalah menjalankan agama sebagaimana awal mulanya, iaitu beragama dalam ketiga aspeknya, ‘Iman’ - ‘Islam’ - ‘Ihsan’ (tauhid - fiqh - tasawuf) sekaligus, sebagai satu kesatuan diin Al-Islam yang tidak terpisah-pisah. Secara sederhana, selalu dikatakan bahawa berkhalwah atau beruzlah atau bersuluk adalah berthariqah..

Yang dilakukan, adalah setiap saat berusaha untuk menjaga dan menghadapkan qalb nya kepada Allah, tanpa pernah berhenti sesaat pun, sambil melaksanakan syari’at Islam sebagaimana yang dibawa Rasulullah saw. Amalannya adalah ibadah wajib dan sunnah sebaik-baiknya, dalam konteks sebaik-baiknya secara lahiriah maupun secara batiniah. Selain itu ada pula amalan-amalan sunnah tambahan, bergantung pada apa yang paling sesuai bagi diri seorang salik untuk mengendalikan sifat jasadiyah dirinya, mengubati jiwanya, membersihkan qalbnya, dan untuk lebih mendekat kepada Allah.

Hadis:-
“Tidak ada cara ber-taqarrub (mendekatkan diri) seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku sukai selain melaksanakan kewajiban-kewajiban yang telah Aku fardhu-kan kepadanya. Namun hamba-Ku itu terus berusaha mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan (sunnah) nawafil, sehingga Aku pun mencintainya. Apabila ia telah Aku cintai, Aku menjadi pendengarannya yang dengan Aku ia mendengar, (Aku menjadi) penglihatannya yang dengan Aku ia melihat, (Aku menjadi) tangannya yang dengan Aku ia keras memukul, dan (Aku menjadi) kakinya yang dengan Aku ia berjalan. Jika ia memohon kepada-Ku, sungguh, akan Aku beri dia, dan jika ia memohon perlindungan-Ku, Aku benar-benar akan melindunginya.” (Hadits Qudsi riwayat Bukhari).

Dasar segala amalan adalah Al-Qur’an dan tuntunan Rasulullah, demikian pula amalan-amalan dalam khalwah. Khalwah tidak mengajarkan untuk meninggalkan syariat pada level tertentu. Syariat (bahkan hingga hakikat dari pelaksanaan syariat) tuntunan Rasulullah wajib dipahami dan dilaksanakan oleh seorang salik, hingga nafasnya yang penghabisan.

Dimana pun smpai bila pun. Setiap saat, selama hidup hingga nafas terakhir kelak. Kenapa? Kerana sebahagian orang ingin memahami makna hidup, makna Al-Qur’an, ingin hidup tersusun dan sentiasa ada dalam bimbingan Allah setiap saat. Sebahagian orang ingin memahami agama, bukan sekadar menghafal dalil-dalil beragama.

Jadi, berkhalwah kurang lebih adalah ber-Islam dengan sebaik-baiknya dalam sikap lahir mahupun batin, termasuk berusaha memahami kenapa seseorang harus berserah diri (ber-Islam), mengetahui makna ‘berserah diri kepada Allah’ (bukan ‘pasrah’), dalam rangka berusaha mengetahui fungsi spesifik dirinya bagi Allah, untuk apa ia diciptakan-Nya.

Dengan mengetahui fungsi spesifik kita masing-masing, maka kita mulai melaksanakan ibadah (pengabdian) yang sesungguhnya. Sebagai contoh: solatnya seekor burung ada di dalam bentuk membuka sayapnya ketika ia terbang, dan solatnya seekor ikan ada di dalam keadaan ia berenang di dalam air. Masing-masing kita pun memiliki cara pengabdian yang spesifik, jika kita berhasil menemukan fungsi untuk apa kita diciptakan-Nya.

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya ber-tasbih kepada Allah siapa pun yang ada di petala langit dan bumi, dan burung dengan mengembangkan sayapnya. Sungguh setiap sesuatu mengetahui cara solat-nya dan cara tasbih-nya masing-masing. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Q. S. An-Nuur)

Inilah ibadah (pengabdian) yang sejati beribadah dengan cara melaksanakan pengabdian pada Allah dengan menjalankan fungsi spesifik diri kita, sesuai dengan untuk apa kita diciptakan-Nya sejak awal. Fungsi diri yang spesifik inilah yang disebut dengan ‘misi hidup’ atau ‘tugas kelahiran’, untuk apa kita diciptakan.

Sebagaimana sabda Rasulullah:-
Dari Imran ra, saya bertanya, “Ya Rasulullah, apa dasarnya amal orang yang beramal?” Rasulullah saw. menjawab, “Tiap-tiap diri dimudahkan mengerjakan sebagaimana dia telah diciptakan untuk (amal) itu.” (H. R. Bukhari ).

bersada lagi:-
“…(Ya Rasulullah) apakah gunanya amal orang-orang yang beramal?” Beliau saw. menjawab, “Tiap-tiap diri bekerja sesuai dengan untuk apa dia diciptakan, atau menurut apa yang dimudahkan kepadanya.”(H. R. Bukhari).

Tiap-tiap diri. Setiap orang. Spesifik. Masing-masing memiliki suatu alasan penciptaan, sebuah tugas khusus, sebuah amanah ilahiyah. Ketika seseorang menemukan tugas dirinya, Allah akan memudahkan dirinya beramal dalam pengabdian sejati berupa pelaksanaan akan tugas itu. Ia akan menjadi yang terbaik dalam bidang tugasnya tersebut. Jalan ‘yang dimudahkan kepadanya’ inilah jalan pengabdian yang sesuai misi hidup, sesuai untuk apa kita diciptakan Allah, sebagaimana ayat tadi berfirman “… tempuhlan jalan Rabb-mu yang dimudahkan (bagimu).”

Segala sesuatu diciptakan Allah dengan ketetapan, dengan tugas, dengan ukuran fungsi spesifik tertentu. Demikian pula kita masing-masing, dan berbeza untuk tiap-tiap orang. Al-Qur’an mengistilahkan hal ini dengan qadar. “Inna kulli syay’in khalaqnaahu bi qadr.” “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu dengan qadr.” (Q. S. Al-Qamar)..

Kita ini, kerana Maha penciptaan Allah, mustahil diciptakan-Nya secara ‘murahan’ dan ‘tidak kreatif’ sebagai sebuah produk massal. Kita sama sekali bukan mass-product, karya generik. Masing-masing kita dirancang Allah secara spesifik, tailor-made orang-per-orang, dengan segala kombinasi kekuatan dan kelemahan yang diukur dengan presisi oleh tangan-Nya sendiri.

Menemukan ‘misi hidup’ adalah menemukan qadr diri kita sendiri sebagaimana yang tersebut pada ayat di atas, sehingga kita memahami untuk (fungsi) apa kita diciptakan. Kita menemukan qudrah Allah yang ada dalam diri kita sendiri. Inilah maksudnya ‘mengenal diri’ dalam hadits “man ‘arafa nafsahu, faqad ‘arafa rabbahu.” “Siapa yang mengenal jiwa (nafs)-nya, akan mengenal Rabb-nya.” ..

Demikianlah pengabdian (ibadah) yang hakiki. ‘Ibadah’ bukanlah sekadar puasa, solat, zakat, dan selainnya, melainkan jauh, jauh lebih dalam dari itu. ‘Ibadah’ berasal dari kata ‘abid, bermakna, ‘abdi’, ‘hamba’, atau ‘budak’. ‘Ibadah’ pada hakikatnya adalah sebuah pengabdian, atau penghambaan diri. Dan pengabdian yang hakiki adalah pengabdian dengan menjalankan tugas ilahiyah sesuai dengan keinginan-Nya, menurut kehendak-Nya, untuk fungsi apa Dia menciptakan kita.

Demikian pula, status ‘Abdullah’ (’abdi Allah/hamba Allah) maupun ‘Abdina’ (hamba Kami) adalah mereka yang sudah mengenali tugasnya dan sudah berfungsi sesuai dengan yang sebagaimana Allah kehendaki bagi dirinya. ‘Hamba Allah’ adalah sebuah status yang tinggi.

Sekarang, insya Allah kita jadi sedikit lebih memahami makna ‘dalam’ dari ayat tujuan penciptaan jin dan manusia, “wama khalaqtul jinna wal insa illa liya’buduun.” “Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah mengabdi/menghamba (ya’bud) kepada-Ku.” (Q. S. Adz-Dzariyaat)..

Demikian pula pada Q. S. Al-Faatihah: “Kepada Engkau kami mengabdi/menghamba (‘na’bud’,* dari ‘abid,), dan kepada Engkau kami memohon pertolongan.” (Q. S. Al-Faatihah )

Semoga kelak kita diizinkan Allah mampu melaksanakan pengabdian yang hakiki, dengan dijadikan Allah termasuk ke dalam golongan ‘Abdullah’....

Wallahua'alam ...