Imam Ghazali: “Saya tahu dengan benar bahawa para Sufi adalah para pencari jalan Allah, dan bahawa mereka melakukan yang terbaik, dan jalan mereka adalah jalan terbaik, dan akhlak mereka paling suci. Mereka membersihkan hati mereka dari selain Allah dan mereka menjadikan mereka sebagai jalan bagai sungai untuk mengalirnya kehadiran Ilahi.."

Petinta

My photo
Aku akan hadapi, Aku akan susuri, Aku akan lalui hari-hari ini, Demi Kasih dan Redha Ilahi, Demi Maghfirah dan Barakah Ilahi, Demi menuju Akhirat Abadi, Demi menuju Syurga Hakiki, Demi menggapai Cinta yang Suci...

25 March 2011

Pandangan Ulama' Tentang Ahli Sufi



1) Imam Abu Hanifah R.A (wafat 150 H):-
Seorang ahli fikir Hanafi, Al-Hasfaki Radiyallahu 'anhu penulis kitab Al-Durr Al-Mukhtar telah mengutip: Bahawa Abu Ali Ad-Daqqaq Radiyallahu 'anhu berkata : Saya telah mengambil thariqat ini dari Abu Al-Qasim An-Nasr Abadi Radiyallahu 'anhu, beliau berkata: saya mengambilnya dari As-Syibili dari As-Saqathi dari Ma'ruf al Kharkhi, dari Daud Ath-Tho'i dan beliau mengambil ilmu sekaligus thariqat dari Imam Abu Hanifah radiyallahu 'anhu. Setiap dari mereka memuji dan mengakui keutamaan Imam Abu Hanifah Radiyallahu 'anhu. Kemudian Imam al Hasfaki berpendapat :

"Sungguh aneh sekali..! Bukankah para pembesar ulama itu sebagai teladanmu? Apakah mereka diragukan pengakuan kebanggaannya ? Sedang mereka adalah para imam Thariqat ini sekaligus tokoh syari'ah (feqah) dan thariqat (tasawwuf), dan tokoh yang datang setelahnya dalam perkara ini adalah para pengikutnya, dan setiap orang yang bertolak belakang dengan apa yang mereka pegang itu ditolak dan dianggap bid'ah.

Abdullah Bin Al-Mubarak Radiyallahu 'anhu berkata :
"Tidak seorangpun yang lebih patut menjadi ikutan selain Imam Abu Hanifah kerana beliau sebagai seorang imam yang bertaqwa, bersih, wara', 'alim dan faqih, beliau telah dibukakan kasyaf, faham, kecerdasan dan ketaqwaan yang tidak ada pada orang lain.

Imam nawawi mengatakan kepada seorang yang bercerita kepadanya :
Aku telah datang dari Imam Abu Hanifah, beliau mengatakan : "Engkau telah datang dari penduduk bumi yang sangat ahli ibadah. Daripada sinilah kita dapat mengetahui bahawa para Imam Mujtahid dan ulama yang 'amilin mereka itu sebenarnya adalah orang-orang sufi"
(Hasyiyah Ibn Abidin)

2) Imam Malik R.A (wafat 179H)
Imam Malik berkata :
"Barangsiapa yang memahami feqah tanpa bertasawwuf maka fasiq, dan barangsiapa yang bertasawwuf tanpa memahami feqah maka zindiq, dan barangsiapa yang telah menghimpun antara keduanya bererti ia telah merealisasikan kebenaran.
(Hasyiyah Allamah Al-Adawi, Sheikh Ali Al-Adawi)

3) Imam Asy Syafie (wafat 204H)
Imam Asy Syafie berkata :
"Saya telah suhbah (bersahabat) dengan kaum Sufi selama 10 tahun, kemudian hanya mendapatkan pelajaran dua huruf, dalam satu riwayat tiga ungkapan :

i. Waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia akan menebasmu.

ii. Nafsumu jika tidak kau sibukkan dengan yang haq (benar), maka ia menyibukkanmu dengan bathil (salah).

iii. Rasa ketiadaan daya (merasakan wujud kebesaran Allah) itu keselamatan (terpelihara) dirimu.
(Tahqiq Haqiqah Aliyah, Sheikh Al-Hafiz Al-Suyuti)

Berkata Imam Syafi'e lagi :
    Aku cinta kepada dunia kalian itu tiga :
    a) Tidak berlebih-lebihan (sederhana)
    b) Bergaul kepada orang dengan lemah lembut.
    c) Meneladani cara tokoh-tokoh tasawwuf.
(Kasyful Khafa', Imam Al Ajluni)

4) Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H)
Pada awalnya sebelum Imam Ahmad bersuhbah (bersahabat) kepada orang sufi berkata kepada puteranya :
"Wahai puteraku berpeganglah kepada Hadith, jauhilah mereka yang menamakan dirinya sufi, kerana boleh salah satu daripada mereka itu seorang yang bodoh terhadap hukum-hukum agama."
Namun ketika beliau terlah bersuhbah dengan Abu Hamzah Al-Baghdadi As-Sufi dan mengetahui keadaan mereka, beliau berkata kepada puteranya : "Wahai puteraku, engkau harus bermujalasah (duduk bersama-sama) dengan kaum sufi, kerana mereka telah menambahkan ilmu, muraqqabah, takut kepada Allah, zuhud dan ketinggian semangat kita"
(Kasyful Khafa', Imam al Ajluni)

Telah berkata Imam Muhammad As-Safaraini Al-Hanbali daripada Ibrahim bin Abdullah Al-Qalansi : Bahawa Imam Ahmad telah berkata tentang kaum Sufi :

"Aku tidak mengetahui orang yang lebih utama daripada mereka (sufi). Lalu ditanyakan: Mereka itu melantunkan nasyid, kemudian saling hanyut diri. Beliau menjawab : "Biarkan mereka bergembira sesaat bersama Allah Subahanahu Wa Ta'ala".
(Manzumatul Adab)

5) Imam Abu Abdullah Al-Harits Al-Muhasibi (wafat 243H)
Dalam kitab Al-Wasaya merupakan salah satu kitab induk ahli tasawwuf yang diakui, beliau berkata tentang pengalaman mujahadahnya yang pahit untuk mendapat hak (Allah) sehingga mendapat petunjuk ke jalan Tasawwuf dan pada tokohnya :

 ... Maka Allah menghubungkanku kepada satu golongan hamba-Nya yang aku dapatkan pada mereka tanda-tanda ketaqwaan, wara' dan pengutamaan kehidupan akhirat atas dunia, seta aku mendapatkan bimbingan dan pesan-pesan mereka yang bersesuaian dengan pendapat para Imam umat...
(Kitab Al-Wasoya, Imam al Muhasibi)

6) Imam al Izz bin Abdus Salam (wafat 660H)
Sultan Ulama 'Izzuddin Bin Abdus salam berkata :
"Orang-orang sufi itu telah membangun landasan di atas kaedah syariah yang tidak menghancurkan dunia dan akhirat. Sedangkan selain mereka berdiri di atas rusum (zahir sahaja). Peristiwa karamah serta khwariqul adat yang terjadi di tangan mereka dapat dijadikan sebagai dalil kebenarannya. Hal itu, bahagian dari kedekatan Allah serta redhaNya kepada mereka.

7) Imam an Nawawi (wafat 676H)
Imam an Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Maqasid.
Prinsip asas Thariqat Tasawwuf itu ada lima :
*  Taqwa kepada Allah di saat sendiri dan bersama orang ramai. Untuk merealisasikan ketaqwaan ini adalah dengan menanamkan sifat wara' dan istiqamah.
* Mengikuti sunnah dalam perkataan dan perbuatan. Untuk merealisasikannya dengan menjaga (sunnah) dan berakhlaq mulia.
* Berpaling dari makhluk di saat bersama dan berpisah (maksudnya hatinya hanya bergantung kepada Allah dalam susah dan senang). Untuk merealisasikannya dengan menanamkan sabar dan tawakkal.
* Redha kepada Allah kepada yang sedikit dan banyak. Untuk merealisasikan redha kepada Allah dengan menanamkan akhlaq qana'ah dan menyerah diri (tafwidh).
 * Kembali kepada Allah dalam susah dan senang. Dan merealisasikannnya dengan memanjatkan puja dan puji dan syukur kepada Allah apabila mengalami kesenangan dan sabar serta mengadu kepada Allah apabila dalam kesulitan.

19 March 2011

Mimpi Abu Laits As-Samarqandi


Abu Laits As-Samarqandi adalah seorang ahli feqah yang mashyur. Antara karyanya yang sangat terkenal hingga kini adalah kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi orang-orang yang lalai).
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima “petunjuk” dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka beliau salah seorang yang menerima petunjuk melalui mimpi itu, pada suatu malam beliau bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

Engkau dikehendaki berbuat demikian:-
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah.
2. Engkau sembunyikan.
3. Engkau terimalah.
4. Jangan engkau putuskan harapan.
5. Larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, beliau itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Beliau kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka beliau itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka beliau pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas beliau itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.
Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Beliau itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka beliau berkata itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari olehnya, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Hamba Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri beliau itu sambil berkata, "Wahai Hamba Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Maka beliau itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, beliau meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah beliau ke rumahnya. Pada malam itu, beliau pun berdoa.
Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawasanya:-
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-gata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

15 March 2011

Revolusi Mesir - الثورة المصرية

Mubarak, ingatkah Wasiat Syeikh Sya’rawi ?
Wasiat Al-Imam Al-Mufassir Syeikh Muhammad Mutawalli al Sya’rawi kepada umat Islam dan Presiden  Muhammad Hosni Mubarak sekian lama dahulu.
- Semoga Allah merahmati Sheikh Mutawalli Sya’rawi yang mengakhiri kehidupannya dengan memberi teguran dan nasihat kepada pemimpin.



Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku dengan menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan dari diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu.

Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama da daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan).

Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata?

“..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu Allah diberi kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia.

Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu.

Aku berkata kepada kamu sekalian, Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Wayamkuruuna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah : “..Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga).

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah Salallahualaihi Wasalam:
“..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita! (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu Presiden Mesir dan berkata):  “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami).

12 March 2011

Upacara Ghaib..??

Assalamualaikum.. Petinta ingin mengupas sikit di sini kerana merasa terkejut bila membaca kenyataan yang disiarkan surat khabar hari ini pada hari Sabtu bertarikh 12 haribulan Februari 2011. “Cubit peha kiri, peha kanan terasa” pepatah ini sering di kaitkan dengan ikatan dan hubungan . Adakah kenyataan yang di nyatakan benar? Atau hanya mendengar khabar-khabar angin maka kenyataan terus dibuat..

Barang siapa tiada merasa, maka tiadalah ia tahu.. Sebelum membuat salah satu kenyataan maka kaji dan selidik la ia terlebih dahulu dari akar hingga ke pucuknya.. Jangan disalah tafsirkan apa-apa yang dibawa oleh sesetengah tariqat mengikut hawa nafsu dan akal… Waalahu Ta’ala A’lam..


Kenyataan yang di cetak harian metro: Usah terpengaruh tarekat jika ilmu agama tak tinggi.

KUALA LUMPUR: “Faham dulu setiap tarekat dan jangan mudah terpengaruh jika ilmu agama kita tidak tinggi,” kata Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Abdul Salam Muhammad Shukri.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam berhubung ajaran sesat, Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah yang dipercayai cuba dihidupkan kembali terutama di Kampung Menderang di Sungkai, Perak, membabitkan kira-kira 100 pengikut terdiri di kalangan penduduk kampung berkenaan. Dr Abdul Salam berkata, tarekat terbabit sudah lama wujud, bagaimanapun apabila ia sampai ke negara ini berlaku penyelewengan, sekali gus menyebabkan ia diharamkan kerana ia menyeleweng dan bertentangan ajaran Islam.

“Justeru setiap kita yang mahu mendalami agama terutama bagi mereka yang berminat dengan tarekat perlu berhati-hati bagi mengelak terpesong akidah.

“Jika ilmu agama kurang, bertanya dan jangan mudah terikut-ikut atau terpengaruh,” katanya.

Beliau berkata, tarekat ialah jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, tetapi ia mesti mengikut syariah.

“Kalau ia sudah terpesong, kita perlu jauhi,” katanya.

Mengulas mengenai ajaran itu turut disebarkan menerusi laman sosial facebook di Internet, Dr Abdul Salam berkata, pihak berkuasa perlu memantaunya bagi mengelak ia terus menular.

Harian Metro semalam melaporkan seseorang itu tidak perlu berbelanja besar atau bersusah payah ke Makkah, sebaliknya hanya menjalani upacara ghaib dikenali sebagai ‘khatam batu’, pengikut sebuah ajaran sesat menganggap mereka sudah menunaikan Rukun Islam kelima serta menggunakan gelaran haji atau hajah. Ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah itu didalangi seorang lelaki bergelar Syeikh yang mempunyai pengikut sekitar Sungkai, Perak dan beberapa daerah berhampiran. Ajaran yang diharamkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak itu turut memperkenalkan beberapa amalan lain yang bertentangan hukum syarak.

Sabtu, 12 Mac 2011
www.hmetro.com.my/articles/Usahterpengaruhtarekatjikailmuagamataktinggi/Article

11 March 2011

Kemuliaan Qalb


1. Rasa malu kepada Allah kerana sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT.

2. Rasa takut dan hebat pada Allah kerana terasa diri selalu berada dalam kuasa Allah, kerana Allah mampu berbuat apa saja seperti sakit, miskin, mati dan lain-lain.

3. Selalu merasa berdosa pada Allah, bukan hanya di depan manusia kerana ada kesalahan tersembunyi yang tidak dapat diketahui seperti dosa-dosa hati. Sebab itu dia selalu menangis seorang diri, bukan di depan orang, kerana takut dosanya tidak terampuni.

4. Tidak menunda-nunda urusan dengan Allah kerana hati selalu merasa kedatangan maut itu biasa terjadi bila-bila saja.

5. Setiap kali membuat kesalahan yang kecil, hatinya merasa takut dan terhina di depan Allah, maka cepat-cepat meminta ampun kepada Allah SWT.

6. Setiap kali selesai beramal, hati merasa itu adalah kurniaan Allah, bukan kemampuan dirinya. Dia tidak merasa bangga kerana merasa amalannya walaupun tidak sempurna kerana itu dia mengharapkan belas kasihan dari Allah agar menerima amalannya.

7. Kalau Allah menentukan satu peristiwa terjadi pada dirinya, hatinya akan redha dengan apa yang terjadi tanpa kesal dan keluh-kesah. Dia sedar dirinya yang rendah layak menerima apa pun takdir Allah.

8. Setiap kali melihat pemandangan alam yang indah, hati segera merasakan kebesaran Allah.

9. Kalau dia mendapat kejayaan atau nikmat, hatinya segera merasakan bahawa itu adalah pemberian dari Allah kerana itu dia merasa takut pada Allah takut menyalahgunakan atau kurang mensyukuri nikmat yang diperolehi.

10. Kalau dia menderita kemiskinan atau tidak memperoleh nikmat, hatinya terasa tenteram kerana dia merasa bebas dari tanggungjawab untuk menjaga amanah Allah.

11. Kalau mendapat musibah seperti sakit, hati akan merasa tenang kerana merasakan bahawa bencana (musibah) adalah kifarah (balasan) dosanya. Dia merasa lebih baik dihukum di dunia daripada dihukum di akhirat. Penderitaan di dunia adalah pengampunan dosa di akhirat.

12. Bila mendapat pujian, hati merasa tidak senang sebab pujian itu tidak layak baginya dan mampu merosakkan rasa kehambaannya.

13. Kalau dikeji atau dihina orang, hatinya merasa kasihan pada orang yang menghinanya dan segera memaafkan orang itu tanpa diminta. Dia merasa bahawa dosanya telah menyebabkan dia dihukum seperti itu. Kalau tidak begitu dia tidak akan mendapat pahala dari penghinaan itu. Sebab itu dia tidak berniat sama sekali untuk membalas perbuatan orang itu.

14. Dia selalu berlapang dada berhadapan dengan aneka ragam manusia dan kesusahan yang manusia timpakan ke atasnya.

15. Dia tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan musibah, tidak merasa tenang dengan pujian dan tidak menderita dengan cacian. Hatinya selalu merasa sebagai hamba yang serba kekurangan dan sangat memerlukan Allah SWT dalam setiap keadaan.

16. Kalau dia melihat atau mengetahui orang membuat maksiat, dia bersyukur pada Allah kerana dirinya selamat dari maksiat. Sebab itu dia tidak menghina orang itu bahkan dia merasa kasihan, ingin menolong dengan memberi nasihat. Bahkan dia tidak menaruh sangka jahat pada orang itu maka dia bersangka baik ke atas mereka. Dia menganggap kesalahan itu adalah kerana mereka tidak tahu, lupa ataupun tidak sengaja.

17. Ketika berhadapan dengan orang yang memarahinya, dia tidak ikut marah dan tidak melawan berdebat sekalipun dia benar.

18. Bila berhadapan dengan kepandaian orang lain, dia akan menerima ilmu atau kebenaran sekalipun dari seorang kanak-kanak. Kalau bermuzakarah dia tidak memperlihatkan bahawa dirinya pandai sehingga tidak merasa bangga diri. Kalau ada yang memuji orang lain di hadapannya dia tidak sakit hati sebab dia faham bahawa kuasa hak Allah yang melebihkan dan mengurangkan nikmat pada hamba-hamba-Nya.

19. Kalau dia digemari oleh banyak orang, dia tidak merasa bangga sebaliknya dia bimbang kalau hal itu membuat dirinya menjadi riya’.

20. Dia tidak makan seorang diri sama ada mendapat keuntungan atau kelebihan dari nikmat di dunia. Kalau memberi bantuan pada seseorang pun, dia memberi tapi  tidak di hadapan orang lain atau orang ramai.

21. Beramal dan betul-betul beribadah kerana Allah bukan lagi berharap kerana Syurga atau takut akan Neraka.

10 March 2011

Pintu-pintu Bisikan Syaitan

Ketahuilah bahawa hati adalah ibarat sebuah benteng. Syaitan sebagai musuh kita selalu ingin memasuki benteng tersebut. Syaitan sentiasa ingin memiliki dan menguasai benteng itu. Tidak mungkin benteng tersebut biasa terjaga  selain adanya penjagaan yang ketat pada pintu-pintunya.

Pintu-pintu tersebut tidak mampu terjaga kecuali jika seseorang mengetahui pintu-pintu tadi. Syaitan tidak mampu terusir dari pintu tersebut kecuali jika seseorang mengetahui cara syaitan memasukinya.

Cara syaitan untuk masuk dan melalui pintu-pintu tadi adalah sifat seorang hamba dan jumlahnya amatlah banyak. Pada saat ini kita selongkar akan pintu-pintu tersebut yang merupakan pintu terbesar yang syaitan biasa memasukinya. Semoga Allah memberikan kita pemahaman dalam permasalahan ini.

Pintu ke-1:
Ini adalah pintu terbesar yang akan dimasuki syaitan iaitu hasad (dengki) dan tamak.

Jika seseorang begitu tamak pada sesuatu, ketamakan tersebut akan membutakan, membuat tuli dan menggelapkan cahaya kebenaran, sehingga orang seperti ini tidak lagi mengenal jalan masuknya syaitan dalam diri yang menguasainya.

Begitu pula jika seseorang memiliki sifat hasad, syaitan akan menghias-hiasi sesuatu seolah-olah menjadi baik sehingga disukai oleh syahwat padahal hal tersebut adalah sesuatu yang mungkar.

Pintu ke-2:
Ini juga adalah pintu terbesar iaitu marah.

Ketahuilah, marah dapat merosak akan akal. Jika akal lemah, pada saat ini tentera syaitan akan melakukan serangan dan mereka akan mentertawakan manusia. Jika keadaan kita seperti ini, minta perlindunganlah pada Allah.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: Jika seseorang marah, lalu dia mengatakan: “ A’udzu billah (aku berlindung pada Allah), maka akan redamlah marahnya.”

Pintu ke-3:
Iaitu sangat suka menghias-hiasi tempat tinggal, pakaian dan segala perabot yang ada.

Orang seperti ini sungguh akan sangat merugi kerana umurnya hanya dihabiskan untuk tujuan ini.

Pintu ke-4:
Iaitu kenyang kerana telah melahap banyak akan makanan.

Keadaan seperti ini akan menguatkan syahwat dan melemahkan untuk melakukan ketaatan pada Allah.
Kerugian lainnya akan dia dapatkan di akhirat sebagaimana dalam hadith: “Sesungguhnya orang yang lebih sering kenyang di dunia, dialah yang akan sering lapar di hari kiamat nanti.”

Pintu ke-5:
Iaitu tamak pada orang lain.

Jika seseorang memiliki sifat seperti ini, maka dia akan berlebih-lebihan memuji orang tersebut padahal orang itu tidak memiliki sifat seperti yang ada pada pujiannya. Akhirnya, dia akan mencari muka di hadapannya, tidak mahu memerintahkan orang yang disanjung tadi pada kebajikan dan tidak mahu melarangnya dari kemungkaran.

Pintu ke-6:
Iaitu sifat selalu tergesa-gesa dan tidak mahu bersabar untuk perlahan-lahan.

Pintu ke-7:
Iaitu cinta harta.

Sifat seperti ini akan membuat berusaha mencari harta bagaimana pun caranya. Sifat ini akan membuat seseorang menjadi bakhil (kikir), takut miskin dan tidak mahu melakukan kewajipan yang berkaitan dengan harta.

Pintu ke-8:
Iaitu mengajak orang awam supaya ta’ashub (fanatik) pada madzhab atau golongan tertentu, tidak mahu beramal selain dari yang diajarkan dalam madzhab atau golongannya.

Pintu ke-9:
Iaitu mengajak orang awam untuk memikirkan hakikat dzat dan sifat Allah yang sulit dicapai oleh akal mereka sehingga membuat mereka menjadi ragu-ragu dalam masalah paling penting dalam agama ini iaitu masalah aqidah.

Pintu ke-10:
Iaitu selalu berburuk sangka terhadap muslim lainnya.

Jika seseorang selalu berburuk sangka (suu’zhon) pada muslim lainnya, pasti dia akan selalu merendahkannya dan selalu merasa lebih baik darinya.

Seharusnya seorang mukmin selalu mencari uzur dari saudaranya. Berbeza dengan orang munafik yang selalu mencari-cari ‘aib orang lain.

Semoga kita dapat mengetahui pintu-pintu ini dan semoga kita diberi taufik oleh Allah untuk menjauhinya dari bisikan syaitan.

07 March 2011

Menemui Pintu Taubat


Telah berkata seorang pelacur yang amat jahat di Kota Mekah. Tiada senang akan hati ku sehinggalah aku berjaya mendatangkan fitnah ke atas Thawus Al Yamani.

Thawus Al Yamani adalah seorang pemuda yang soleh yang tinggi ilmunya. Saban hari kerjanya mengajar ilmu kepada penduduk miskin di Kota Mekah. Malamnya diserikan dengan amal ibadah. Lantaran kesolehannya, maka terdetik hati seorang pelacur untuk memfitnahnya.

Suatu malam, saat Thawus Al Yamani sedang bertafakur di rumahnya. Pelacur tersebut memasuki rumahnya, meleraikan segala pakaiannya dan berbaring menelentang di hadapan Thawus.Cuba menggoda Thawus untuk berzina dengannya. Thawus dengan sopan, berdiri, lalu mengutip pakaian pelacur tersebut satu persatu dan menyelimuti tubuh sang pelacur.

Dengan lemah lembut Thawus berkata : Tutupilah perhiasan mu. Keindahannya bukan untuk tontonan ramai dan bukan untuk dijamah oleh orang ramai. Barang yang berharga hanya untuk di miliki oleh seorang insan sahaja.

Namun pelacur tersebut masih lagi menggoda Thawus. Memujuk agar Thawus melakukan perzinaan dengannya.

Akhirnya Thawus bersuara : Baiklah. Andainya engkau mahu aku meniduri diri mu. Engkau datanglah kembali ke rumah ku malam esok. Aku akan bawa engkau ke suatu tempat yang sesuai untuk kita berzina.

Pelacur tersebut pun kembali ke sarangnya dengan rasa gembira. Hasratnya untuk menggoda dan memfitnah Thawus seolah-olah akan tercapai keesokan malamnya.

Keesokan malam, pelacur itu sudah berada di hadapan rumah Thawus. Thawus mengajak pelacur tersebut untuk mengekorinya. Tatkala melalui Maqam Ibrahim di sisi Kaabah, Thawus berhenti.

Perlahan Thawus berpaling kepada pelacur tersebut dan berkata : Di sinilah tempat untuk kita berzina. Leraikanlah pakaian mu dan berbaringlah di atas Maqam Ibrahim.

Terkejut pelacur tersebut. Maka berkatalah pelacur itu : Bukankah ini tempat awam ? Kita akan dilihat oleh orang ramai. Kita akan ditangkap dan kita akan dihukum. Tidakkah engkau melihat Baitullah ? .... bentak pelacur tersebut kepada Thawus dengan nada yang marah.

Thawus memandang pelacur tersebut sambil tersenyum : Wahai perempuan, mengapa tempat ini engkau hebatkan berbanding kehebatan ALLAH ? Mengapa pandangan masyarakat ramai yang engkau gusarkan sedangkan masyarakat itu hanyalah manusia ciptaan ALLAH ? Mengapa engkau tidak gusar dengan ALLAH yang sentiasa melihat perlakuan diri mu walau di dalam malam yang gelap gelita ? Mengapa hukuman manusia di dunia yang engkau takutkan sedangkan hukuman ALLAH di akhirat lagi Maha Dahsyat ? Bertaubatlah diri mu agar maruah kemuliaan mu yang selama ini engkau rosakkan di angkat kemuliaannya ke taraf yang lebih mulia. Agar kemiskinan yang mengekori mu diganti dengan kekayaan iman. Agar kerungsingan di hati mu diganti dengan ketenangan dan kebahagiaan. Agar ancaman neraka ALLAH ke atas mu diganti dengan janji nikmat syurga yang penuh kemanisan.

Maka bertaubatlah pelacur tersebut dan menjadi ia salah seorang murid setia Thawus Al Yamani.

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa berzina dengan perempuan , nescaya membuka ALLAH Taala atasnya di dalam kuburnya akan lapan pintu dari api neraka, keluar dari segala pintu itu beberapa kala dan ular hingga hari qiamat.

Sabda Rasulullah SAW : Orang yang bertaubat dari dosa itu, seperti orang yang tiada dosa baginya. Dan orang yang meminta ampun dari dosa padahal ia mengekali atasnya, seperti orang yang membuat senda-senda dengan TUHAN-nya.

Dan sabda Rasulullah SAW : Tidak ada yang lebih di kasihi oleh ALLAH daripada orang muda yang bertaubat. Dan tiada yang lebih ALLAH murka daripada orang tua yang mengekalkan berbuat maksiat. Taubat Nasuha adalah jalan penyuci segala dosa.

06 March 2011

Kesepian

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, sebaik-baik amalku pada penamatnya dan sebaik-baik hariku, ialah hari ketika aku bertemu denganMu, Ya Allah..."


Benarkah sepi itu indah?...
Kesepian itu telah lama bersama ku…
Dari dulu, kini dan ……..
Bila sepi itu menjenguk ku…
Aku berusaha menjadikan sepi itu indah…

Ya Allah, Ya Tuhan…
kiranya telah Kau takdirkan…
aku sendirian begini…
aku redha, Ya Allah…
kerana telah ku yakini…
yang sepi itu indah…
seindah kasihMu, Ya Allah...

Maka Ya Allah,
Janganlah kerana sepi
Aku jauh dari Mu Ya Allah,
Sebaliknya,
Jadikan sepi ini,
Adalah waktu-waktu yang memang
Engkau luangkan untukku
berkasih dengan Mu,
serta mengenali Mu,
Dan
Berusaha aku mengatur langkah
Untuk
Berjalan menuju MU...

Aku selalu teringat tentang kesepian,
Sesungguhnya manusia yang sedar akan bersama Allah
Tidak akan pernah kesepian
Apa lagi kalau sedar bahawa manusia sebenarnya tidak pernah sendiri
Walapun sendirian, tidak pernah kesepian
Walaupun dalam keadaan sepi
Tapi sebenarnya banyak pendamping-pendampingnya
yang setia iaitu
Anggota tubuh yang masih berfungsi
Masih menemukan cahaya
Masih mendengarkan suara
Masih bersama waktu dan tahu waktu
Orang lain masih ada disekitarnya
Mampu berkomunikasi dua arah dengan orang lain
Mampu berbuat apa saja yang biasa dilakukan.

Manusia tidak pernah sendirian
Kerana Allah SWT selalu bersamanya,
Dua Malaikat Rokib dan Atid selalu bersamanya,
Hanya dia tidak sedar  atau tidak mempercayai bersama
 Allah dan Malaikat tersebut.

Manusia benar-benar sepi sendirian dan kesepian
Apabila merasa Allah SWT tidak ada bersama
Bagi yang tidak beriman kepada Allah SWT
Manusia benar-benar sepi, sendiri dan kesepian

Bagi yang beriman kepada Allah SWT
Tak ada alasan sedikitpun untuk kesepian

Bagi seorang sufi,
Mereka lebih menyukai sepi dan sendirian
Kerana dengan menyepi dan menyendiri
Lebih banyak waktu yang ia pergunakan
Untuk berdzikir dan bermunajat kepada Allah  SWT..

Ya Tuhanku
Ampunilah dosa dosa ku
Aku selalu rindukan kehadiran Mu
Sepanjang jalan dan hayat hidupku
Tiada berharap kepada yang lain hanya pada Mu

Aku memohon pada Mu Ya Allah
Penuhi harapan dengan segala petunjuk Mu

Ya Allah,
Aku memohon curahkan belas kasih Mu
Agar ku dapat keredhaan Mu..

Antara Dua (Allah atau Nafsu)

Assalamualaikum.. tajuk ini bukan nak dendangkan lagu antara dua dari penyanyi yang comel iaitu Farah tapi ingin mengupas maksud antara dua cinta samada kerana nafsu atau Allah.

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah Jatuh Cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan, begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.

Ringkasan sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.

Sehingga Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha. Bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Nabi Yusuf yang berhajat kepadanya.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, dan macam-macam lagi, yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima kasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. Malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh.



Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan sehingga ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, Ya Allah, Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mengatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah Taala yang patut kita letakkan.. Ambil masa untuk kita bermuhasabah…